Singapura sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang bersih. Ramai mendakwa bahawa sangat sukar untuk menemui sampah jika melawati negara tersebut. Tidak seperti di negara kita, denda sekiranya individu membuang sampah merata-rata di Singapura boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.
Oleh sebab itu, jarang sekali kita dengar kisah berkaitan sampah atau pencemaran berlaku di negara berkenaan. Pun begitu, berbeza keadaannya apabila seorang pengguna Facebook di Singapura telah memuat naik satu gambar yang tidak sedap mata memandang di media sosial kelmarin.
Dalam entrinya, wanita dikenali sebagai Shirley Lc Tan itu memuat naik satu gambar menunjukkan keadaan sungai yang dicemari dengan cecair berwarna perang. Shirley mendakwa bahawa pencemaran tersebut adalah disebabkan oleh individu tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kuah kari ke dalam sungai tersebut.
Menuduh sebuah katerer perkahwinan melakukan perkara tidak bertanggungjawab tersebut, Shirley memaklumkan bahawa kejadian berkenaan berlaku di Blok 408 Pasir Ris Drive 6. Pada waktu itu, Shirley dikatakan melihat sejumlah besar kuah kari dibuang ke tempat yang tidak sepatutnya sekaligus mencemari pengairan Sungei Tampines.
Wanita itu mendakwa bahawa dia telah melaporkan hal tersebut kepada Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) namun masih belum menerima tindak balas daripada pihak terbabit. Menurut laman web NEA, pembuangan sisa terbuang secara haram adalah kesalahan yang serius kerana ia mencemarkan alam sekitar dan berbahaya kepada kesihatan awam.
Tindakan Shirley memuat naik gambar tersebut di laman Facebook miliknya mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. Rata-rata meminta Tan menamakan katerer tidak bertanggungjawab tersebut supaya mereka dapat memboikot kerana sanggup mencemarkan alam sekitar sesuka hati.
Semoga pihak berkuasa dapat mengenal pasti individu yang melakukan perkara ini secepat mungkin. Buanglah sisa makanan di tempat yang betul atau sedekahkan kepada orang ramai jika masih elok untuk dimakan.