in

“Kalau pandai kau tak kerja tol” – Marah Tak Cukup Baki, Lelaki Hina Jurutol

Pemandu Hina Jurutol

Gara-gara kekurangan baki dalam kad tambah nilai Touch ‘n Go (TnG), seorang pemandu kereta menghamburkan kata-kata hinaan terhadap seorang jurutol yang sedang bertugas di situ.

Kejadian itu dirakam sendiri oleh mangsa dan dikongsikan oleh seorang pengguna laman X yang bengang adiknya diperlekehkan sebegitu.

Menurutnya, insiden bermula apabila baki nilai TnG pemandu Honda berkenaan kurang dalam anggaran RM1.50 sewaktu melalui Tol Segambut di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Artikel berkaitan: “Biadap!” – [VIDEO] Pemandu Simbah Air Milo Pada Jurutol, Dakwa Berang Tak Dapat Top Up Kad Prabayar

Menerusi rakaman perbualan di aplikasi WhatsApp, lelaki itu dikatakan terpaksa menambah nilai TnG miliknya menggunakan wang tunai selepas mengaku tidak membawa bersama kad pengenalan dan juga mendakwa kad bank rosak.

Sementara itu, menerusi video yang dikongsikan, pemandu terbabit turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap jurutol sebelum berlalu apabila palang tol dibuka.

“Menyusahkan oranglah engkau ni. Sebab kau b*doh lah kau kerja tol. Buka! Buka! Kalau pandai kau tak kerja tol lah,” kata pemandu tersebut.

Namun, jurutol berkenaan tetap dalam keadaan tenang walaupun dihina oleh pemandu terbabit.

Hantaran video tersebut mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meminta mangsa untuk membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan.

Screenshot 2024 04 23 104119

Difahamkan, mangsa sudah pun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan menunggu siasatan pihak polis.

Sumber: X