Seorang jurufoto bebas, Valerie Zink telah meletak jawatan selepas lapan tahun berkhidmat dengan agensi berita antarabangsa, Reuters susulan dakwaan agensi itu telah menyokong propaganda Israel serta gagal mempertahankan wartawan yang terbunuh di Gaza.
Zink dalam perkongsian di Facebook berkata, beliau tidak sanggup lagi menyandang pas media Reuters selepas agensi itu didakwa telah menerbitkan dakwaan tidak berasas mengenai wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif yang terbunuh bersama kru Al Jazeera dalam satu serangan udara di Gaza City pada 10 Ogos lalu.
Artikel berkaitan: “Satu-satunya suara di G*za” – 5 Wartawan Al Jazeera Terb*nuh Dalam Serangan Israel
Walaupun karya Anas memenangi Hadiah Pulitzer untuk Reuters, agensi itu tidak membela beliau walaupun sudah jelas beliau menjadi sasaran Israel.
“Malah mereka gagal melaporkan kematiannya dengan jujur,” kata Zink.
Dalam pada itu, Zink juga turut mengecam serangan terbaru Israel terhadap Hospital Nasser yang mengorbankan 20 nyawa termasuk seorang jurukamera Reuters, Hossam Al-Masri.
Serangan itu menurutnya sebagai serangan ‘double tap’ iaitu dengan mengebom bangunan awam, menunggu pasukan penyelamat dan wartawan tiba sebelum menggugurkan pula bom yang kedua.
Zink juga mendakwa, media Barat termasuklah Reuters, The New York Times, Washington Post dan Associated Press telah bersekongkol menyebarkan propaganda Israel yang telah menyebabkan berlakunya pembunuhan besar-besaran wartawan di Gaza.
Dengan mengulangi pembohongan Israel tanpa usul periksa, media Barat telah memungkinkan lebih ramai wartawan terbunuh di Gaza dalam dua tahun berbanding gabungan Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Korea, Vietnam, Afghanistan, Yugoslavia dan Ukraine,” katanya.
Keputusan Zink meninggalkan Reuters itu dianggap sebagai sebahagian daripada usahanya menghormati keberanian wartawan Palestin yang merupakan antara paling berani dan terbaik pernah ada.
Sumber: Facebook, Astro AWANI