Kesatuan Eropah (EU) telah mendedahkan keperluan baharu untuk rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong ke 30 negara di EU, berkuat kuasa tahun depan.
Ketika ini, Malaysia antara salah sebuah daripada 63 negara yang tidak memerlukan visa untuk memasuki kebanyakan negara Eropah.
Namun, peraturan yang bakal berkuatkuasa pada 2024 ini akan mewajibkan mereka yang ingin memasuki negara Eropah perlu mendapatkan kebenaran perjalanan daripada Sistem Maklumat dan Kebenaran Perjalanan Eropah (ETIAS), yang akan dikaitkan dengan pasport mereka.
Menurut laman web rasmi ETIAS, kebenaran berkenaan akan sah untuk digunakan untuk tempoh 3 tahun atau sehingga tarikh luput pasport pemohon. Sekiranya pasport telah tamat tempoh, pelancong perlu mendapatkan kebenaran ETIAS baharu.
Dengan adanya kebenaran perjalanan ETIAS, pelancong dari Malaysia boleh memasuki negara-negara Eropah pada bila-bila masa untuk pelancongan jangka pendek sehingga 90 hari.
Pun begitu, kebenaran ini tidak menjanjikan kemasukan. Bila tiba di Eropah, pihak keselamatan sempadan akan meminta pasport pelawat dan dokumen lain untuk memastikan pelawat menepati peraturan yang ditetapkan.
Pemohonan boleh dilakukan melalui laman web ETIAS atau melalui aplikasi mudah sistem dengan bayaran €7 atau RM35.77 untuk mereka yang berumur 18 tahun keatas, manakala individu dibawah 18 tahun serta mereka yang lebih daripada 70 tahun adalah percuma.
Menurut kenyataan pihak EU, permohonan yang diterima akan diproses dalam masa beberapa minit, namun ia akan mengambil masa sehingga empat hari untuk menerima keputusan. Tambah mereka lagi, permohonan ini berkemungkinan boleh menjangkau 14 hari sekiranya anda diminta untuk memberikan maklumat atau dokumentasi tambahan, atau sehingga 30 hari jika anda dijemput ke temu duga.
Tambah pihak EU, disebabkan proses permohonan yang mungkin lebih lama ini, pelawat diminta untuk memohon kebenaran perjalanan ETIAS lebih awal daripada tarikh perjalanan dan rancang sebaiknya.
Kebenaran perjalanan ETIAS akan dikuatkuasakan bermula 2024 untuk memasuki Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Czech Republic, Denmark, Estonia, Finland, France, Germany, Greece, Hungary, Iceland, Italy, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, the Netherlands, Norway, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Spain, Sweden and Switzerland.
Baca : 5 Pulau Tersembunyi Yang Cantik & ‘Underrated’ Di Malaysia Yang Korang Mungkin Tak Tahu Wujud!