Nama Nas Daily mungkin tak perlu diperkenalkan lagi. Lelaki berasal dari Israel ini merupakan antara individu yang dikenali ramai dalam industri pencipta kandungan.
Memetik laporan The Vocket, pada tahun lalu, vlogger ini menerima kecaman hebat daripada warga Singapura susulan isu diskriminasi pemilihan pekerja.
Baru-baru ini, Nas atau nama sebenarnya, Nusier Yassin sekali lagi menjadi topik perbualan hangat di internet selepas rakyat Filipina menuduh lelaki ini mengeksploitasi budaya dan seni orang Asli Filipina untuk konten.
“Dia kurang ajar & tak mahu paparkan ladang dan petani sebab bukan ‘clickable content'”
Pada 5 Ogos lalu, Louise De Guzman Mabulo, seorang petani dan social entrepreneur yang terkenal dan diraikan di Filipina telah menuduh Nas Daily sebagai kurang ajar dan eksploitatif.
Menerusi satu posting yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya, Louise ada berkongsi mengenai pengalamannya bekerja dengan vlogger terbabit pada tahun 2019.
https://www.facebook.com/77tynycae/posts/10215120718369580
Jelas Louise dalam posting terbabit, Nas Daily datang ke Filipina pada tahun 2019 untuk membuat video mengenai kisah Louise yang merupakan pengasas The Cacao Project. Malah, wanita itu juga telah tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 list di Asia kerana baktinya yang mahu meningkatkan kualiti hidup petani di negara itu.
Terang Louise, sebelum perjumpaan mereka, beliau memang meminati hasil kerja vlogger terbabit dan mengaku beliau dan bapanya akan menonton video Nas Daily setiap hari. Walau bagaimanapun, Louise berkata dia amat kecewa sebaik bersua muka dengan vlogger itu.
Dakwa Louise, semasa penggambaran video, Nas telah mengajuk dan seolah-olah mengejek beberapa frasa Tagalog. Malah, vlogger terbabit juga dituduh sering mengatakan petani Filipina sangat miskin dan enggan memaparkan mana-mana petani atau ladang kerana ia bukan clickable content.
“Dia (Nas) kata, jika dia hanya letak Filipina pada tajuk, dia akan dapat jutaan tontonan daripada rakyat Filipina,” kata Louise.
Tidak cukup dengan itu, Louise juga mendakwa Nas langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada keluarga Louise dan mengatakan mereka hanya membuang masa vlogger itu. Lebih parah, Louise juga mengatakan Nas enggan makan makanan yang disediakan ibunya meskipun wanita itu menghabiskan masa seharian menyiapkannya.
“Di akhir hari itu, Nas tak bernarkan sesiapa berehat atau makan. Dia juga menyalahkan saya kerana tiada konten bernilai yang boleh dipaparkan.
“Padahal semasa kami berbincang melalui panggilan telefon, saya sudah memberitahunya kerja saya terlalu banyak faktor dan mungkin sukar untuk dirangkumkan dibawah satu minit. Akhirnya, kami berdua bersetuju yang ia lebih baik jika Nas pulang,” katanya.
“It’s a scam! Nenek saya tak pernah setuju untuk ajar kelas online Nas Daily!”
Selain isu dengan Louise, Nas Daily turut dikecam rakyat Filipina selepas dia mempromosikan satu kelas tatu yang bakal diajar oleh seorang pembuat tatu paling dihormati di negara itu iaitu Whang-od Oggay.
Nas Daily teruk dikecam selepas cucu kepada Whang-od, Grace Palicas tampil dan menjelaskan bahawa kelas online itu adalah satu penipuan dan neneknya tak pernah bersetuju untuk mengajar seperti yang dikatakan Nas.
“Nenek saya tak pernah tandatangan mana-mana kontrak dengan Nas Daily untuk mengasaskan satu akademi. Tolong bantu kami hentikan tindakan kurang ajar ini terhadap legasi Apo Whang Od dan suku kaum Butbot,” tulis Grace dalam satu hantaran di Facebook.
Lapor CNN Philipines, selepas posting Grace itu tular, Nas telah bertindak membatalkan kursus terbabit. Pun begitu, vlogger terbabit masih menerima kecaman netizen Filipina yang rata-ratanya menuduh Nas mengeksploitasi budaya Filipina.
Sampai ada petisyen isytihar Nas Daily sebagai ‘persona non grata’ di Filipina
Susulan daripada kontroversi terbabit, kini, satu petisyen telah dibuat untuk mengharamkan vlogger terbabit daripada memasuki negara Filipina.
Sesetengah pengguna internet Filipina juga mahu mengisytiharkan Nas Daily sebagai persona non grata di Filipina.
Untuk info, ‘persona non grata’ merujuk kepada individu yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara buat selamanya selepas didapati melakukan kesalahan yang tidak dapat dimaafkan ketika berada di negara terbabit.
Setakat artikel ini ditulis, petisyen terbabit sudah mendapat ribuan tandatangan yang menyokong usul terbabit.
Sumber: The Vocket, CNN Philipines, Rappler, Facebook
Baca: “Hati-hati dengan Al-Jazeera” – Nas Daily Dakwa Al-Jazeera Fitnah Dia Jadi Ejen Untuk Israel