Baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan ibu kandung dan bapa tiri pada petang Jumaat.
Menurut laporan Sinar Harian, kanak-kanak malang terbabit didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.
Namun begitu, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman iaitu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka mendedahkan siasatan fizikal mendapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badannya.
Susulan daripada itu, ibu kandung dan bapa tiri mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun telah ditahan reman bagi membantu siasatan.
Ingatkan ambulans datang sebab kes positif COVID-19
Jiran yang duduk berdekatan dengan kediaman mangsa turut mengakui mereka terkejut dengan berita terbabit.
Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Aish, 47, dia turut bersedih mengenangkan mangsa yang dikatakan sering termenung di luar rumah.
Dia yang menyangka jirannya positif COVID-19 kerana kehadiran ambulans di hadapan rumah terkejut besar apabila dimaklumkan mengenai kematian mangsa.
“Semalam (Jumaat) memang saya nampak ambulans, suami saya bertanyakan kepada suami wanita itu (ibu kandung mangsa) dan dia maklumkan anaknya meninggal dunia kerana lemas di dalam tong,” katanya.
Kata Kak Aish, ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki jarang bergaul dengan jiran. Sebelum ini, dia sering melihat wanita itu keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berhampiran.
Walau bagaimanapun, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan, ibu kandung kanak-kanak itu tidak lagi keluar bekerja.
Jiran itu juga berkata dia kadang kala terlihat kanak-kanak lelaki itu berada di perkarangan rumah bersama dua adiknya.
Kerap dengar bunyi tangisan kanak-kanak
Sementara itu, seorang lagi jiran yang berusia 43 tahun mendakwa dia sering mendengar bunyi kanak-kanak menangis dari rumah jirannya itu.
Namun begitu, dia yang juga mempunyai anak kecil menganggap itu adalah perkara biasa.
Bagaimanapun, jiran berkenaan segera bergegas ke luar rumah apabila dia terlihat ada ambulans datang. Dia kemudiannya diberitahu oleh bapa tiri kanak-kanak malang itu mengenai kematian mangsa manakala ibu kandung mangsa duduk menangis di atas sofa.
“Bila tanya pada pasukan paramedik, salah seorang daripada mereka maklumkan yang kanak-kanak itu sebenarnya dah lama meninggal dunia,” katanya.
Sumber: Sinar Harian