Seorang influencer fitness terkenal yang tidak percaya akan kewujudan COVID-19 dan mendakwa ia sebagai hoax, akhirnya meninggal dunia akibat jangkitan tersebut.
Dmitriy Stuzhuk yang memiliki 1 juta pengikut di Instagram itu sempat menceritakan pengalamannya bertarung nyawa melawan kesakitan selepas dijangkiti, menerusi satu perkongsian yang dimuatnaik di akaun Instagramnya.
https://www.instagram.com/p/CGVXb6mHmEZ/?utm_source=ig_web_copy_link
Memetik laporan Kompas, Dmitriy dipercayai mendapat jangkitan tersebut ketika berada di Turki dan telah disahkan positif setelah melakukan ujian saringan di sebuah hospital di Ukraine.
Dmitriy yang seringkali dilihat gemar mempromosikan gaya hidup sihat itu kemudian dibenarkan keluar dari hospital selepas lapan hari, namun jangkitan itu mengakibatkan dia mengalami komplikasi jantung.
Dia kemudian terpaksa dikejarkan semula ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Tiga hari lepas, Dmitriy sempat berkongsi pengalamannya dan mengingatkan pengikutnya bahawa COVID-19 bukan sejenis penyakit yang akan hilang tanpa meninggalkan kesan jangka panjang kepada orang yang dijangkiti.
Menceritakan dengan terperinci, Dmitriy berkata dia mula merasa tidak sihat pada hari kedua berada di Turki. Lehernya membengkak dan dia mengalami kesukaran bernafas, selain turut disusuli dengan sakit kepala.
Keesokan harinya, dia mula batuk namun semua gejala itu tidak diendahkannya kerana menganggap ia kesan daripada bersukan dan perubahan cuaca.
Hanya selepas pulang dari Turki, dia memutuskan untuk melakukan ujian saringan dan disahkan positif COVID-19.
Baca: Kerana Percaya Covid-19 Hanya Mitos, Lelaki Ini Maut Selepas Hadiri Parti Covid