Seorang bayi berumur sebulan dilaporkan meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan sebuah pusat jagaan berpantang di Kota Bahru petang kelmarin.
Menurut laporan Harian Metro, bayi berkenaan dikatakan tidak sedarkan diri pada jam 5.30 petang, selepas diberikan susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan.
Artikel berkaitan : Bayi Meninggal Dunia Akibat Terhidu Asap Rokok Masa Majlis Cukur Jambul
Artikel berkaitan : Pengasuh Bayi 8 Bulan Yang Meninggal Dunia Di Taska Direman 7 Hari
Susulan itu, bapa kepada bayi tersebut, Choo Kamin, 30 menepis dakwaan yang mengatakan bayi tersebut tersedak susu. Menurutnya, bayi tersebut didera ketika berada di pusat jagaan berpantang itu dan dakwanya lagi, ia dilihat menerusi rakaman CCTV.
“Bayi saya bukan tersedak susu, sebaliknya dikasari termasuk dipukul. Perbuatan itu jelas dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat jagaan berkenaan.”
Kata Kamin, bayi lelakinya yang diberi nama Choo Jyn Hern itu dihantar ke pusat jagaan berpantang tersebut selepas tiga hari dilahirkan dan ditempatkan di situ bersama isterinya, Yap Pei Yin, 29.
Katanya, Yap berpantang dan memerlukan penjagaan rapi berikutan melahirkan anak secara pembedahan.
“Lebih malang lagi, isteri dan anak saya sepatutnya keluar dari pusat jagaan berpantang pada 10 September dan kejadian itu berlaku sehari sebelumnya selepas 28 hari mendapatkan rawatan di sana.”
“Saya membayar sebanyak RM13,000 kepada pusat jagaan berpantang untuk rawatan selama 28 hari.”
Lebih menyedihkan lagi, bayi tersebut merupakan cahaya mata sulung mereka setelah menunggu selama 3 tahun dan kematiannya pula berlaku pada hari kelahiran isterinya juga.
“Sejak kejadian itu, emosi isteri saya tidak stabil malah setiap kali ingin mengepam susu dia akan menangis selain sering terbayangkan bayi kami masih lagi berada dakapan.”
Disebabkan itu, mereka akan mengambil tindakan terhadap pusat jagaan berpantang dan menyerahkan kes jururawat berkenaan kepada polis.
Sebelum ini, keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Dalam pada itu, jururawat yang berusia 22 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.
Sumber : Harian Metro