adidas baru-baru ini telah mencatatkan sejarah tersendiri selepas menjadi satu-satunya jenama yang berjaya melakukan sesuatu pada ‘kepala singa’ yang ikonik di Sunway Pyramid.
Usahasama tersebut dicapai selepas jenama sukan dan gaya hidup terkenal berkenaan telah membuka semula cawangannya di pusat beli belah tersebut dan lebih menarik, ianya merupakan adidas Brand Center yang terbesar di Asia Tenggara.
Selain konsep kedai yang biasa kita lihat seperti mengikut sukan dan mempunyai sudut produk lestari, di sini juga terdapat bahagian khas untuk wanita selain turut menyediakan sudut customization yang membolehkan pelanggan menambah hiasan, tulisan, cetakan dan lain-lain lagi kepada barangan adidas seperti kasut, baju, hoodie dan sebagainya.
Sesuai dengan statusnya sebagai outlet terbesar di Asia Tenggara, ia ternyata memberikan pengalaman beli belah yang berbeza selain mempunyai beberapa sudut ‘instagramable’ yang pastinya akan dimanfaatkan oleh orang ramai untuk mengambil gambar ‘ootd’ sambil menggayakan produk berkenaan.
Mendapat Sentuhan Anak Seni Tempatan!
Ha, salah sebuah sudut yang pastinya menarik perhatian ramai adalah ruangan khas yang diadakan untuk orang ramai ‘lepak’ sambil bermain permainan ping-pong yang mana rekaannya mendapat sentuhan seni daripada anak jati Pulau Pinang iaitu Valen Lim.
Bercerita tentang meja tersebut, Valen menjelaskan bahawa dia mendapat ilham daripada menu di kedai kopi dan untuk meja tersebut ada tertulis model kasut ikonik yang pernah dikeluarkan adidas bersama tahun pengeluaran seperti Samba, Gazelle dan lain-lain.
Selain meja tersebut, difahamkan Valen juga menggunakan konsep yang sama untuk menghasilkan papan tanda yang seakan-akan papan tanda kedai kopi sebagai penghias dinding utama aras 2 cawangan tersebut.
Lebih menarik, papan tanda tersebut turut menampilkan 3 bahasa utama di negara ini selain tagline jenama berkenaan turut tertulis dalam Bahasa Melayu iaitu ‘Jenama Tiga Jalur’. Valen menjelaskan beliau hanya mengambil lebih kurang 2 bulan untuk mencurahkan ideanya sebelum menyediakan lukisan digital dan memulakan proses penghasilan.
Selain itu, sudut yang dikhaskan untuk mengetengahkan bakat anak tempatan ini turut dilengkapi dengan perhiasan ‘langsir kayu’ yang biasa kita lihat di hadapan kedai-kedai lama dijadikan inspirasi untuk mempamerkan logo ikonik ‘Trefoil’ adidas yang disertakan dengan lukisan model-model kasut yang popular sepanjang zaman.
Jom tengok apa lagi sudut menarik di sini :
Kalau korang nak tengok sendiri hasil tangan pereka grafik tempatan di butik terbesar di Asia Tenggara ni, boleh lah ke Sunway Pyramid, adidas Brand Centre berada di LG1.18-1.20A & G1.17-1.19.