Saban hari, luahan pelajar sekolah dan universiti yang belajar secara dalam talian akibat pandemik COVID-19 boleh dilihat di media sosial terutamanya di Twitter. Nampak je belajar secara PDPR ni macam senang sebab tak payah bangun awal untuk pergi sekolah tapi cabarannya pun bukan biasa-biasa. Stres terperap kat rumah tu tak payah cakap la kan.
Seorang pelajar perempuan di Villupuram, India dilaporkan telah makan rambutnya sendiri akibat menghadapi tekanan ketika belajar dari rumah. Menurut The New India Express, keadaan gadis yang berusia 15 tahun itu bermula sejak setahun lalu.
Namun, pada April lalu, dia sering muntah-muntah dan mengadu sakit perut, jadi dia telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Rupa-rupanya, doktor telah menemui gumpalan rambut dalam perut gadis itu dan pembedahan segera dilakukan untuk membuang benda asing tersebut.
Dalam pembedahan itu, doktor telah mengeluarkan lebih kurang satu kilogram gumpalan rambut dari bahagian perutnya.
Difahamkan, dia telah menghidapi sindrom Rapunzel di mana seseorang individu akan makan rambut sendiri. Stres belajar secara dalam talian telah menyebabkan dirinya menghidapi sindrom itu.
Gadis itu juga dilaporkan memang tidak menyukai kaedah belajar secara online. Namun, selepas pembedahan tersebut pada Jun lalu, dia kini dikatakan sedang menjalani sesi kaunseling.
Semoga adik ni akan cepat sembuh dan akan kembali bersekolah seperti biasa.
Sumber: The New Indian Express