Topik pembedahan bariatrik menjadi bualan ramai ketika ini susulan timbul isu hangat yang berlegar di media sosial baru-baru ini.
Dalam kesempatan itu, pempengaruh dan juga pegawai perubatan, Dr Malar Santhi berkongsi tentang manfaat dan risiko kepada orang ramai terutama bagi mereka yang merancang untuk menjalani pembedahan bariatrik.
Menjelaskan mengenai bariatrik, Dr Malar memaklumkan pembedahan ini bukanlah prosedur ‘memotong’ usus, sebaliknya melibatkan pengecilan saiz perut yang sudah membesar bagi membantu pesakit mengawal selera makan dan menurunkan berat badan.
“Apabila perut besar, makan banyak pun tak kenyang. Sukar nak diet dan berat badan pun susah turun.
“Jadi, pembedahan ini membantu mengecilkan perut supaya seseorang itu makan dalam kuantiti lebih kecil dan akhirnya menurunkan BMI serta risiko penyakit berkaitan obesiti,” jelasnya.
Artikel berkaitan: “Tak bahaya ke?” – Bariatrik Bukan Jalan Singkat Untuk Kurus, Fahami Risiko Pembedahan Bariatrik
Artikel berkaitan: “Saya yang buat sendiri, Syed tak bagi buat” – Isteri Prince Syed Nafi Suami Paksa Buat Bariatrik
Risiko jangka pendek & jangka panjang bariatrik
Namun begitu, pembedahan bariatrik ini juga ada risikonya. Antara komplikasi jangka pendek termasuklah jangkitan, luka terbuka sama ada di kulit atau di bahagian dalam, darah beku dan masalah pernafasan yang boleh menyebabkan pesakit perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Walaupun kes sebegitu jarang berlaku, ia tetap risiko yang perlu difahami. Sebab itu penting berbincang dengan doktor secara menyeluruh sebelum membuat keputusan,” katanya.
Malah, pembedahan ini juga boleh ada komplikasi jangka panjang antaranya kekurangan penyerapan vitamin B, D, zat besi dan kalsium selain rasa loya dan muntah berpanjangan.
Katanya lagi, ada juga kes yang mana berat badan pesakit naik semula selepas beberapa ketika kerana tidak mengekalkan disiplin pemakanan dan gaya hidup sihat.
@drmalarss Suami suruh buat pembedahan bariatric potong perut? Boleh ke? Patut ke? #bariatricsurgery #fypage
Buat atas kerelaan diri sendiri
Dalam pada itu, Dr Malar turut menasihatkan keputusan melakukan pembedahan bariatrik perlu dilakukan atas kerelaan diri sendiri dan bukanlah atas desakan atau pengaruh orang lain.
“Jangan lakukan pembedahan bariatrik sebab suami suruh buat, isteri, atau mak ayah suruh buat. Doktor suruh buat pembedahan bariatrik pun jangan buat selagi bukan korang sendiri yang dengan rela hatinya mahu buat,” ujarnya.
Dr Malar juga menegaskan pembedahan ini bukanlah untuk kecantikan tetapi demi membantu pesakit menuju ke gaya hidup yang lebih sihat.
Sumber: TikTok
