Pasukan pembelaan Datuk Seri Zahid Hamidi membuat permohonan penangguhan perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Malaysiakini, peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik berkata Zahid “diperlukan” dalam perbincangan pembentukan kabinet baru bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tertuduh akan (terlibat) dalam perbincangan dengan perdana menteri berhubung pembentukan kabinet hari ini. Jadi, kami meminta mahkamah membenarkan penangguhan untuk prosiding hari ini.”
Kehadirannya diperlukan […].”
Sehubungan dengan itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan perbicaraan mahkamah membabitkan Zahid Hamidi bagi memberi ruang kepadanya untuk berbincang dengan Perdana Menteri.
Zahid berdepan 47 tuduhan membabitkan 12 kes pecah amanah, 27 kes pengubahan wang haram dan 8 kes rasuah. Beliau didakwa pecah amanah terhadap dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM31 juta. Selain itu, menerima rasuah berjumlah RM21.25 juta dan melakukan penggubalan wang haram membabitkan RM65 juta dan menggunakan duit itu untuk membeli dua unit banglo bernilai RM5.9 juta.
Seramai 38 saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwaan yang diketuai Raja Rozela Raja Toran untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah setakat ini, dalam perbicaraan yang masuk hari ke-18.
Perbicaraan kes akan disambung semula esok.