Siapa yang tak kenal dengan nama Nadiem Makarim? Beliau bukan sahaja pengasas bersama gergasi ride-hailing Gojek, malah pernah menjadi kebanggaan anak muda Indonesia apabila dilantik menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 2019.
Namun, dunia dikejutkan apabila ikon teknologi ini kini berdepan tuntutan hukuman penjara 18 tahun oleh pendakwa raya Indonesia atas dakwaan rasuah (graft) yang melibatkan dana pendidikan negara!
Apa Sebenarnya Yang Berlaku?
Isu ini berkaitan dengan projek perolehan laptop Chromebook dan sistem Chrome OS untuk sekolah-sekolah di Indonesia sewaktu pandemik (2020-2022). Menurut pendakwa raya, projek ini bukan sahaja merugikan negara, malah didakwa sengaja dirancang untuk memberi keuntungan peribadi kepada Nadiem sendiri.

Berikut adalah kronologi kes yang sedang ‘panas’ ini:
- 2018: Kementerian Pendidikan sebenarnya sudah buat kajian dan mendapati Chromebook tak sesuai untuk sekolah di kawasan pedalaman Indonesia sebab ia perlukan sambungan internet yang kuat (sedangkan banyak kawasan masih no signal).
- 2019: Nadiem letak jawatan sebagai CEO Gojek selepas dilantik oleh Presiden Jokowi menjadi Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi.
- 2020: Nadiem didakwa bertemu dengan wakil Google Asia Pacific dan Google Indonesia beberapa kali. Selepas itu, kementerian teruskan juga projek beli Chromebook walaupun tahu masalah internet.
- 2020-2022: Spesifikasi tender didakwa sengaja diubah supaya hanya sistem Google sahaja yang layak. Pendakwa raya kata ini dilakukan supaya Google jadi “pengawal tunggal” ekosistem pendidikan Indonesia.
- September 2025: Nadiem ditahan bersama beberapa pegawai kanan kementerian untuk siasatan lanjut.
- Mei 2026: Pendakwa raya tuntut hukuman 18 tahun penjara kerana menyebabkan kerugian negara sebanyak USD 125.64 juta (RM592 juta!). Nadiem juga didakwa mengayakan diri sendiri sebanyak Rp 809 bilion (RM241 juta) melalui projek ini.
Walaupun berdepan tuduhan berat, Nadiem menerusi peguamnya tetap menafikan segala salah laku tersebut. Beliau mendakwa pihak pendakwa raya mengabaikan bukti-bukti baru yang dibentangkan di mahkamah.
Malah, dalam satu temubual, Nadiem menyatakan kebimbangannya bahawa kes ini boleh memberi imej buruk kepada Indonesia dan menakutkan pelabur asing untuk datang ke sana.
Apa Nasib Nadiem Selepas Ini?
Setakat ini, tiga lagi pegawai kementerian yang terlibat sudah pun dijatuhi hukuman penjara sehingga 4.5 tahun. Bagi kes Nadiem pula, mahkamah dijangka akan memberikan keputusan muktamad (verdict) pada Jun 2026 nanti.
Jika mahkamah bersetuju dengan tuntutan 18 tahun ini, ia bakal menjadi antara hukuman paling berat yang pernah dikenakan ke atas bekas menteri dalam sejarah moden Indonesia.
Sumber: CNA
