in

Dari Marilyn Monroe Ke James Dean, Ini 4 Kematian Selebriti Klasik Yang Mengejutkan Hollywood

Collage 31

Hollywood merupakan industri perfileman tertua dan terbesar di dunia. Sejak ia ditubuhkan pada 1911, Hollywood telah melahirkan banyak selebriti-selebriti terkenal.

Namun begitu, disebalik glamor yang ditampilkan, Hollywood juga telah menyaksikan bintang-bintangnya mati dalam keadaan tragis. Pada artikel kali ini, kita akan tengok beberapa kematian selebriti klasik Hollywood yang telah menghantui ramai orang sehingga hari ini.

1. Marilyn Monroe

Marilyn Portrait 74284348 5B885E14C9E77C0050F83121

Simbol seks yang menjadi kegilaan ramai di sekitar tahun 1950-an ini telah mengejutkan orang ramai bila dia disahkan meninggal dunia pada 4 Ogos 1962. Dalam banyak-banyak kematian orang terkenal, kematian Marilyn Monroe telah menjadi topik perbualan yang sangat hangat di tabloid yang tak pernah dilihat sebelum ini.

Walaupun kematian blonde bombshell ini secara rasminya diputuskan sebagai bunuh diri, ramai mengesyaki kematiannya ada kena mengena dengan politik.

Marilyn ditemui mati di dalam rumahnya di Los Angeles oleh pakar psikiatrinya Dr. Ralph Greenson selepas mendapat panggilan dari orang gajinya. Dia ditemui mati dalam keadaan bogel dan terbaring di atas katil sambil tangannya memegang telefon dan pelbagai jenis pil bersepah di atas meja bilik tidurnya.

Persoalan tentang kematiannya ini timbul kerana hasil bedah siasat tak menemui apa-apa kapsul di dalam badannya serta orang-orang yang rapat dengannya juga mengatakan jika dia betul-betul cuba membunuh diri, dia mungkin akan meninggalkan nota.

Antara konspirasi yang terkenal mengenai kematian Marilyn ini adalah dakwaan mengatakan, Robert Kennedy iaitu adik kepada Presiden AS pada ketika itu John F. Kennedy telah membunuh wanita tersebut. Ini kerana, sebelum kematian model ini, terdapat khabar angin mengatakan Marilyn dan JFK telah menjalinkan hubungan cinta dan Robert membunuhnya kerana mahu menghalang Marilyn dari memberitahu media tentang skandalnya itu.

Manakala teori lain mengatakan salah seorang pekerjanya telah membunuh Marilyn Monroe untuk mendapatkan hartanya. Siasatan kedua yang dijalankan ke atas kematian Marilyn Monroe pada 1982 sekali lagi mengesahkan wanita ini mati kerana membunuh diri.

2. Bruce Lee

Jackie Lee 1 17Cdd6751D824199A8Af493930D99Abf

Sebagai seorang yang mahir dalam martial arts, kehadiran Bruce Lee dan pergerakannya yang laju telah menjadikan dia bintang yang terkenal di seluruh dunia dan di Hollywood.

Di usia remajanya, Bruce Lee telah belajar seni mempertahankan diri dari seorang yang handal dalam Wing Chun di Hong Kong iaitu Yip Man. Dia kemudiannya dihantar untuk menyambung pelajarannya di Amerika Syarikat sebelum Bruce Lee membuat keputusan untuk menetap di California dan membuka studio mengajar seni mempertahankan diri.

Reputasi Bruce Lee di dalam seni mempertahankan diri telah membuka peluangnya untuk muncul di kaca TV. Dia telah mendapat watak utama pertamanya di dalam filem Hong Kong bertajuk The Big Boss (1971).

Kejayaannya ini telah berjaya membuatkan Bruce Lee menembus pasaran Amerika di dalam filem Enter The Dragon (1973), namun malangnya dia telah meninggal dunia secara mengejut sebelum sempat dia merasa popularitinya di Hollywood.

Pada pagi 20 Julai 1973, Bruce Lee telah berada di Hong Kong untuk menemui penerbit filem seterusnya Game of Death di mana dia telah diberikan kuasa kreatif sepenuhnya untuk menulis, mengarah, menghasilkan dan berlakon dalam filem ini.

Ia merupakan hari yang sibuk dengan meeting untuk Bruce Lee dan dikatakan dia sempat menemui pelakon Taiwan Betty Ting Pei yang didakwa merupakan perempuan simpanannya. Mereka berdua merancang untuk makan malam dengan produser Hong Kong Raymond Chow tapi pelakon ini tak hadirkan diri.

Pada jam 7.30 malam hari yang sama, Betty telah memberikan pil tahan sakit yang mengandungi aspirin dan ubat penenang untuk mengurangkan sakit kepalanya sebelum lelaki ini baring. Tapi selepas Bruce Lee tidak turun untuk makan malam, Betty menemui lelaki tersebut dalam keadaan tak sedarkan diri di biliknya.

Betty telah menelefon Raymond Chow untuk naik ke rumahnya sebelum mereka berdua menelefon polis. Selepas 10 minit cuba untuk sedarkan Bruce Lee, doktor telah memanggil ambulans untuk menghantar pelakon ini ke hospital sebelum dia disahkan mati ketika tiba.

Bedah siasat yang dijalankan mendedahkan kematian pelakon ini adalah akibat dari bengkak yang teruk di otaknya. Malah beberapa bulan sebelum itu, doktor mengatakan bahawa Bruce Lee menghidap edema serebrum iaitu satu keadaan yang menyebabkan cecair berlebihan di otak menyebabkan bengkak dan sakit. Namun begitu, peminat-peminatnya mengesyaki ada sesuatu yang tak kena dengan kematian pelakon kesayangan mereka ini.

Ada yang percaya Bruce Lee meninggal kerana reaksi alergi terhadap ubat yang diberikan oleh Betty dan ada juga yang mengatakan Betty sengaja memberi racun kepada Bruce Lee selepas mendapat arahan dari kongsi gelap yang mahukan pelakon ini mati.

3. Natalie Wood

Robert Wagner 2000 Ff7C54C23F5D457797245Fce8Ad97Ec5

Sebagai bintang kanak-kanak yang disayangi, Natalie Wood telah berjaya mendaki tangga Hollywood dengan kebolehannya untuk menyampaikan dialognya sehingga dia diberikan gelaran “one take Natalie“.

Ketika dia berusia 18 tahun, Natalie telah mendapat pencalonan pertamanya untuk Anugerah Akademi bagi lakonannya di dalam Rebel Without A Cause disamping James Dean. Dia telah mendapat dua lagi pencalonan sebelum dia berusia 25 tahun.

Natalie Wood juga turut pernah bercinta dengan beberapa nama besar di Hollywood termasuk Elvis Presley, Christopher Walken dan Robert Wagner yang dikahwininya pada 1957. Namun pasangan ini dikatakan tidak bahagia.

Pada tahun 1981, Natalie dan Robert telah pergi ke Pulau Santa Catalina bersama Christopher Walken dan seorang kapten bot Dennis Davern. Namun, apa sebenarnya yang berlaku pada malam Natalie Wood hilang masih tak jelas tapi pengakuan dari Dennis beberapa dekad selepas kematian pelakon ini mengatakan Robert Wagner merupakan dalang utamanya.

Menurut Dennis, mereka telah berlayar menaiki kapal Robert, namun begitu perbalahan telah berlaku sejak awal lagi. Ini kerana, Robert yang mengesyaki isterinya itu telah menjalinkan hubungan dengan Christopher Walken telah membuat onar di sebuah bar di Pulau Catalina apabila Natalie dan Christopher telah menghabiskan masa bersama-sama di sana selama berjam-jam.

Konflik ini kemudiannya berterusan sehingga di dalam bot apabila Robert dikatakan telah memecahkan botol arak dan menjerit kepada Christopher supaya mengaku yang lelaki itu cuba untuk tidur dengan isterinya. Ekoran ini, Christopher telah masuk ke dalam kabinnya dan pasangan ini juga turut masuk ke dalam bilik mereka.

Pada malam yang sama, Robert telah memberitahu Dennis bahawa Natalie hilang. Ia kelihatan seperti Natalie telah mengeluarkan sampan dan pergi dari situ. Namun begitu, teori ini dikatakan tak logik kerana pelakon ini telah keluar pada lewat malam dan Natalie sangat takut dengan air.

Keesokan harinya, pihak berkuasa telah menemui sampan yang hilang di pantai berdekatan dan Natalie pula terapung di dalam air memakai baju tidur, stoking dan jaket.

Seorang saksi di dalam bot lain memberitahu bahawa dia dan teman lelakinya telah mendengar suara wanita menjerit meminta pertolongan pada jam 11 malam. Hasil bedah siasat menunjukkan beberapa lebam di tangannya dan luka di pipi kirinya yang mungkin didapati pada masa yang sama dia lemas.

Natalie Wood pada awalnya disahkan mati kerana lemas secara tak sengaja namun sijil kematiannya telah ditukar kepada “lemas dan faktor yang tak dapat ditentukan” selepas maklumat baru mengenai kematiannya timbul beberapa tahun lalu.

Kes kematian Natalie kini disiasat semula namun tak banyak yang didedahkan oleh pihak polis.

4. James Dean

Porsche 100324088 M

Bermula sebagai budak ladang yang lahir dan dibesarkan di Indiana, James Dean telah berpindah ke New York selepas berhenti kolej untuk mengejar cita-citanya menjadi pelakon. Pelakon kacak ini memulakan kerjayanya sebagai seorang pelakon sebelum mula berlakon watak kecil-kecilan.

James Dean kemudiannya dapat menjadi watak utama dalam filem East of Eden. Lakonannya ini telah membuatkan James mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem terbesarnya Rebel Without a Cause. Ia merupakan filem terbesar dan terakhir sebelum kematiannya.

Ketika namanya sedang meningkat naik, James Dean telah mula berjinak-jinak dalam perlumbaan kereta sport. Dia merancang untuk menyertai pertandingan lumba kereta pada tahun yang sama filem East of Eden ditayangkan.

Pada 30 September 1955, James Dean telah pergi berlumba bersama mekaniknya Rolf Wütherich. Perlumbaan ini pada awalnya berjalan dengan baik, tapi pada jam 5.45 petang, Dean telah perasan satu kereta Ford bergerak ke arahnya dan bersedia untuk belok kiri ke arah simpang di hadapannya. Namun begitu, dengan kelajuan pemanduannya, ia telah menyebabkan dua kereta ini bertembung.

Rolf terpelanting dari kereta dan mengalami beberapa patah tulang. James Dean pula tersepit di dalam kenderaan yang remuk. Saksi bergegas cuba menyelamatkannya, tetapi kesan perlanggaran terlalu teruk. Pelakon ini disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Memorial Perang Paso Robles sejurus selepas jam 6 petang.

Jamesdean 638X900 1

Kematian mengejutkan James Dean ini telah menyebabkan tayangan filemnya Rebel Without a Cause yang ditayangkan beberapa bulan selepas itu dipuji oleh pengkritik dan peminat.

Kemalangan tersebut telah menyebabkan kereta sport kesayangannya rosak teruk tapi beberapa bahagian kereta yang dapat diselamatkan telah dijual. Namun begitu, beberapa khabar angin mengatakan banyak kematian telah berlaku kepada orang yang membelinya.

Seorang doktor yang didakwa telah membeli enjin kereta tersebut dikatakan mati di dalam satu kemalangan kereta ketika pertama kali dia menggunakannya menyebabkan orang mengatakan bahawa kereta tersebut telah disumpah.

Sumber: ati

 

Baca: 7 Selebriti Ini Pernah Hidup Susah Sebelum Jadi Antara Orang Terkaya Di Dunia

Collage 23