Kebakaran yang berlaku baru-baru ini telah direkodkan antara kebakaran paling teruk pernah berlaku di Amerika Syarikat. Kebakaran hutan seperti ini memang sering berlaku di serata dunia lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang berlaku.
Malah menurut UN, bencana kebakaran ekstrem dijangkakan akan meningkat sebanyak 50 peratus menjelang akhir abad di mana beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Siberia, India dan Australia telah mula mengalami kebakaran yang dahsyat.
Dekat bawah ni, korang boleh tengok antara kebakaran yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah dunia dan apa kesannya terhadap biodiversiti, ekosistem dan kawasan urban.
1. Siberia, 2003
Pada tahun 2003, ketika seluruh Eropah dilanda musim panas melampau, beberapa kebakaran dahsyat telah berlaku di Hutan Taiga di Timur Siberia dan memusnahkan sebanyak 55 juta ekar tanah. Punca kebakaran ini dipercayai berlaku akibat keadaan yang sangat kering serta kerosakan yang dibuat oleh manusia sendiri dalam masa beberapa dekad.
Kebakaran ini telah diingati sebagai salah satu kebakaran hutan paling dahsyat dan terbesar dalam sejarah manusia. Ia telah merebak ke seluruh Siberia dan Timur Jauh Rusia, utara China, dan utara Mongolia, menghantar kepulan asap yang mencecah Kyoto yang terletak beribu-ribu batu jauhnya.
2. Australia, 2019-2020
Kebakaran yang berlaku di Australia pada tahun 2020 ini telah direkodkan dalam sejarah sebagai antara bencana paling dahsyat ekoran impak malapetakanya. Kebakaran hutan yang telah melanda sepanjang New South Wales dan Queensland ini telah memusnahkan sebanyak 42 ekar tanah, beribu-ribu bangunan, membunuh berpuluh-puluh orang serta 3 bilion haiwan termasuk 61,000 beruang koala.
Australia pada ketika itu sedang mengalami tahun yang paling panas dan kering pernah direkodkan dalam sejarah pada akhir 2019 dan awal 2020 telah menjadi punca utama berlakunya bencana menyedihkan ini.
3. Kanada, 2014
Pada musim panas 2014, lebih 150 kebakaran yang berlainan telah berlaku di sepanjang Wilayah Barat Laut yang berkeluasan sebesar 1.1 bilion kilometer persegi di utara Kanada. 13 dari kebakaran tersebut dipercayai berpunca dari manusia.
Asap dari kebakaran tersebut juga turut menyebabkan kualiti udara yang buruk di seluruh negara tersebut dan di Amerika Syarikat. Tak cukup dengan itu, asap tersebut juga boleh dilihat sejauh di Portugal.
Sebanyak 8.5 juta ekar hutan musnah sepenuhnya dan kos untuk memadamkan api tersebut telah mencecah US$4.4 juta.
4. Alaska, 2004
Musim kebakaran yang berlaku di Alaska pada 2014 ini telah memusnahkan lebih 6.6 juta ekar tanah. Sebanyak 701 kebakaran telah berlaku dan 215 daripadanya adalah disebabkan oleh kilat manakala selebihnya disebabkan oleh manusia.
Musim panas pada tahun 2004 ketika itu sangat panas dan basah menyebabkan banyak kilat menyambar. Selepas berbulan-bulan kilat ini berlaku, suhu yang semakin meningkat dan kemarau pada bulan Ogos telah menyebabkan kebakaran yang berterusan sehingga bulan September.
5. Australia, 1939
Dikenali dalam sejarah sebagai Black Friday, kebakaran hutan yang memusnahkan lebih 5 juta ekar di Victoria, Australia pada tahun 1939 ini berlaku ekoran kemarau bertahun-tahun diikuti dengan suhu tinggi dan angin kencang
Kebakaran ini telah meliputi lebih tiga per empat dari kawasan tersebut dan menyebabkan sebanyak 71 kematian menjadikan ia kebakaran ketiga paling membawa maut dalam sejarah Australia.
Pada 13 Januari, apabila suhu mencecah 44.7C di Melbourne dan 47.2C di Mildura, kebakaran tersebut telah kembali marak dan membunuh 36 lagi nyawa, memusnahkan lebih 700 rumah, 69 kilang papan dan beberapa ladang dan perniagaan. Abu dari kebakaran ini telah jatuh sehingga ke New Zealand.
Sumber: Earth.Org
Baca: Bencana Kebakaran Di Hawaii Korbankan Lebih 100 Nyawa, Ini Apa Yang Berlaku…