Pengalaman membeli belah seorang gadis baru-baru ini menjadi pengalaman pahit buatnya apabila tercedera ketika menggunakan eskalator.
Gambar gadis berkenaan menjadi viral di media sosial semalam. Kejadian malang itu dilaporkan berlaku di pusat membeli belah Sunway Pyramid.
Difahamkan, gadis itu sedang menggunakan eskalator sebelum tiba-tiba besi logam penghadang bahagian bawah eskalator itu tercabut dan mencucuk betisnya.
Melalui gambar dan video yang tersebar luas itu, gadis berkenaan dapat dilihat cedera teruk di mana kakinya mengalami pendarahan yang agak banyak, dengan betisnya tersiat. Kesiannya dia!
Cebisan daging turut dapat dilihat tergantung di betisnya. Orang ramai yang menyaksikan kejadian mengerumuni gadis tersebut sebelum pegawai keselamatan serta pekerja di situ tiba di tempat kejadian membawa pengusung.
Selepas beberapa ketika, ambulan tiba dan membawa gadis itu ke Pusat Perubatan Sunway untuk rawatan lanjut.
Pihak pengurusan Sunway Pyramid telah memuat naik status di Facebook rasmi mengesahkan insiden itu. Netizen rata-rata mempertikaikan soal keselamatan menggunakan eskalator memandangkan kes sebegini sering berlaku di Malaysia.
Siasatan tentang isu berkenaan sedang dijalankan dan informasi akan diberikan selepas siasatan itu selesai sepenuhnya.
Diharapkan semua pihak memandang serius tentang isu sebegini dan mencari jalan penyelesaian supaya tiada lagi insiden seperti ini berlaku di masa akan datang.
Kepada wanita yang tercedera itu, semoga cepat sembuh!