Sebenarnya, pertelingkahan dalam keluarga ni perkara biasa je. Semua orang mesti pernah hadap sekurang-kurangnya sekali, dari perselisihan kecil sampailah ke pergaduhan yang lebih besar.
Kadang-kadang, kita bergaduh pun sebab berbeza pendapat atau salah faham je, tapi itulah corak kehidupan yang semua keluarga pasti pernah lalui.
Tapi bila selebriti yang bergaduh dengan keluarga sendiri, tiba-tiba semua orang nak ambil tahu. Sebab itulah nama besar macam keluarga Beckham pun boleh jadi tajuk berita.
Jadi, selain keluarga Beckham, siapa lagi selebriti Hollywood yang pernah terpalit dalam drama keluarga? Berikut adalah beberapa kes drama keluarga selebriti Hollywood lain yang pernah menjadi bualan ramai.
Artikel Berkaitan: “Saya hidup dalam kepura-puraan” – Britney Spears Dipaksa Guna Alat Pencegah Kehamilan, Mahu Hidup Bebas Tanpa Dikawal Ayah – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Keluarga saya tak pernah hormat isteri saya” – Ini Apa Yang Korang Perlu Tahu Tentang Konflik Keluarga Beckham – Lobak Merah
1. Beyoncé

Seperti kebanyakan selebriti lain, bapa Beyoncé iaitu Matthew Knowles merupakan antara penyokong utama serta pengurus Beyoncé pada zaman awal-awal kegemilangannya.
Matthew Knowles yang merupakan seorang jurujual peralatan perubatan sanggup untuk berhenti dan membuka sebuah syarikat muzik demi menguruskan kumpulan Destiny’s Child, iaitu kumpulan penyanyi yang melonjakkan nama Beyoncé, Kelly Rowland dan Michelle Williams ke persada muzik antarabangsa.
Namun pada tahun 2002, kumpulan Destiny’s Child tiba-tiba mengambil keputusan untuk berehat seketika supaya setiap ahli dapat memberi fokus pada projek solo masing-masing.
Pada tahun 2003, Beyoncé berjaya keluarkan album solonya yang pertama dan Matthew masih mengurus kerjayanya sehinggalah album I Am… Sasha Fierce pada tahun 2008. Tapi sekitar waktu itu, Beyoncé tiba-tiba arahkan audit dijalankan terhadap bapanya ekoran bapanya didakwa mengambil sebahagian duit daripada tour konsert Beyoncé.
Kemudian, Beyoncé mendapati yang bapanya juga telah berlaku curang ketika masih berstatus suami kepada ibunya, Tina. Hubungan kompleks ini secara langsung telah memberi inspirasi kepada muzik Beyoncé seperti dalam lagu Daddy Lessons.
Pada tahun 2011, Beyoncé mengumumkan secara rasminya Matthew tidak lagi mengurus kerjayanya yang mana pada tahun itu juga, ibu bapanya sudah bercerai secara sah.

Kisah pertelingkahan yang membabitkan Beyoncé ini tidak berakhir apabila pada tahun 2014, tular sebuah rakaman yang menunjukkan adik Beyoncé, Solange Knowles telah memukul Jay Z di dalam lif.
Difahamkan, kejadian itu berlaku dipercayai disebabkan Jay Z telah berkata sesuatu yang tidak wajar terhadap Beyoncé dan Solange yang menyebabkan Solange terus bertindak balas untuk memukul dan menendang Jay Z.
Namun selepas video itu tular, ketiga-tiga mereka mengeluarkan kenyataan bersama yang mana mereka menegaskan bahawa mereka telah menyelesaikan isu tersebut. Ketiga-tiga mereka juga menjelaskan yang hubungan keluarga mereka tetap kukuh meskipun ada sedikit pertelingkahan di antara mereka sebelum ini.
2. Miley Cyrus

Secara umumnya, Miley Cyrus membesar dalam keluarga yang ibu bapanya sangat terkenal iaitu Billy Ray Cyrus dan Tish Cyrus. Selepas penceraian ibu bapanya pada tahun 2022, hubungan Miley bersama keluarga ibarat diuji dengan perubahan yang sangat ketara.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila pada tahun 2023, Noah dan Braison tidak dilihat menghadiri ke majlis perkahwinan semula ibu mereka bersama Dominic Purcell. Billy pula kelihatan masih sukar untuk meneruskan hidup selepas perpecahan keluarga sementara sebahagian ahli keluarganya sudah mula menjalani kehidupan sendiri.
Kemudian pada tahun 2025, Trace mendakwa yang bapanya telah mengugut untuk mengambil tindakan ekoran penulisannya di salah satu hantarannya di Instragram.
Untuk pengetahuan semua, saya dah lama tak dengar khabar berita bapa saya. Dia ada hubungi ahli keluarga yang lain untuk maklumkan yang dia akan ambil tindakan undang-undang terhadap saya hanya sebab saya nak dia dapat bantuan,” kata Trace di Instagramnya yang mana telah menjadi punca Billy ingin mengambil tindakan terhadap anaknya sendiri.
Kata Trace, dia hanya berbuat demikian kerana dia masih sayang dan bimbangkan Billy sebagai bapa saja memandangkan anak-anak lain tidak berani untuk tegur bapanya.
Buat pihak Miley pula, dia cuba untuk kekal neutral dan tidak mahu terlibat dalam pergaduhan keluarga. Dia menyedari bahawa walaupun ada ketegangan, adik-beradiknya dan dirinya hanya mahu memastikan keluarga mereka tetap rapat dan saling menyokong.
Miley juga menjelaskan yang meskipun hubungan dia dan Billy memang rapat sebagai ayah dan anak, namun cara mereka berdepan dengan populariti dan kerja sangat berbeza, menjadikan Miley boleh menjadi seorang yang lebih berdikari tetapi tidak setahap untuk memutuskan ikatan keluarga yang ada.
3. Lindsay Lohan

Lindsay Lohan pun antara selebriti Hollywood yang sering menjadi tajuk berita tapi bukan kerana kerjayanya, tapi kerana hubungan dia bersama ibu bapanya yang penuh kontroversi.
Ramai peminat berpendapat bahawa tingkah lakunya yang kontroversi itu berkemungkinan sebahagiannya berpunca daripada keluarganya yang berpecah belah.
Lindsay juga pernah mendedahkan bahawa hubungan dia bersama bapanya, Michael Lohan memang sentiasa penuh dengan ketegangan. Dia juga pernah mendakwa yang bapanya pernah mengugut ibunya, Dina sebelum ini dan Lindsay sendiri selalu ada sahaja perselisihan faham dengan ibu bapanya.
Konflik Lindsay dengan ibunya juga selalu menjadi perhatian media berulang kali, termasuklah pertengkaran fizikal dalam kereta serta pergaduhan yang melibatkan masalah kewangan. Pihak polis juga pernah mendapat aduan yang mana Lindsay ditahan tanpa rela oleh Dina dan pemandu mereka.
Selepas Lindsay dibebaskan daripada program pemulihan ekoran ketagihan terhadap dadah dan minuman keras, dia tetap menegaskan bahawa dia tak pernah menyalahkan ibu bapanya terhadap setiap perbuatan kontroversinya di dalam sebuah temubual bersama Oprah Winfrey.
Saya kecewa bila orang cepat sangat menghukum ibu bapa saya. Mereka cumalah ibu bapa biasa seperti orang lain yang cuba lakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan anak mereka.
Tiada siapa yang sempurna di dunia ni. Saya sangat sayangkan ibu bapa saya dan mungkin ada perkara yang boleh dilakukan dengan cara yang lebih baik, tapi itu semua dah pun berlalu dan tak perlu dibahaskan lagi,” katanya dalam temubual tersebut.
4. Britney Spears

Kes Britney ni mula kecoh menjadi perhatian ramai melalui gerakan #FreeBritney apabila orang ramai mula sedar bahawa dia berada di bawah conversatorship.
Conversatorship adalah kuasa yang diberikan oleh mahkamah untuk menguruskan kehidupan seseorang yang dianggap tidak mampu membuat keputusan sendiri. Biasanya sistem ini dibuat untuk warga emas yang mengalami masalah kesihatan, tetapi sistem ini turut boleh digunakan untuk orang muda sekiranya mereka menunjukkan ketidakupayaan yang sama, seperti kes Britney Spears.
Britney Spears ditempatkan dibawah conversatorship pada tahun 2008 selepas beberapa insiden kontroversi, termasuklah mencukur kepala sendiri dan pertengkaran dengan paparazi. Jadi, di bawah conversatorship itu, bapa Britney iaitu Jamie Spears telah bertindak untuk mengawal kewangan dan keputusan peribadinya.
Hal ini telah menyebabkan Britney tidak berkuasa untuk membuat keputusan sendiri dan sepanjang 13 tahun berikutnya, dia menghadapi pelbagai sekatan terhadap kehidupannya sendiri, termasuklah rawatan perubatan dan pengurusan kewangan.
Selepas perjuangan undang-undang dan tekanan awam melalui gerakan #FreeBritney, conversatorship Britney berjaya ditamatkan pada tahun 2021. Secara langsung, perkara ini membolehkan dia membuat keputusan peribadi dan kerjaya tanpa campur tangan mana-mana pihak terutamanya bapanya.
Walaupun kita selalu menggambarkan selebriti hidup dalam kemewahan dan dunia yang glamor, tapi mereka pun manusia biasa yang tidak terlepas daripada konflik keluarga dan masalah peribadi masing-masing.
Sumber: Stars Insider, Glamour, People, BuzzFeed
