Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta yang melibatkan penahanan beberapa individu baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan media, LZS menjelaskan bahawa kes yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa itu sebenarnya melibatkan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan bukannya institusi zakat tersebut.
Artikel berkaitan: “Tak takut dosa ke?” – Timbalan Pengerusi NGO Ditahan Seleweng Dana Zakat RM230 Juta
Artikel berkaitan: Tular Video Wanita Luah Isu Nafkah Bekas Suami Di Kaunter Zakat, Individu Ini Beri Pendapat
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari, menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai laporan media berhubung penahanan individu berkaitan kes tersebut namun menegaskan sistem tadbir urus mereka adalah telus.
“Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi Negeri Selangor di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta tertakluk kepada sistem tadbir urus, kawal selia, serta semak imbang yang menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa setiap dana zakat yang diuruskan melalui pelbagai lapisan audit termasuk audit dalaman, audit luaran, serta semakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan ketelusan pengurusan.
Pihak LZS turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau mengaitkan institusi zakat dengan kes tersebut tanpa usul periksa. Tindakan menyebarkan berita tidak benar dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat di negara ini.
Orang awam disarankan untuk merujuk saluran rasmi Zakat Selangor untuk maklumat yang tepat dan menunaikan zakat melalui platform yang sah di laman web www.zakatselangor.com.my.
Sehingga kini, memandangkan siasatan pihak berkuasa masih dijalankan terhadap NGO berkenaan, Zakat Selangor memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai butiran kes tersebut.
Sumber: Facebook
