Kebakaran di hutan Los Angeles yang mula merebak hingga bandar berdekatan pada hari Selasa, 7 Januari lalu, telah meraih perhatian seluruh dunia kerana api yang marak itu menular dengan pantas hingga mengakibatkan kemusnahan majoriti di bandar tersebut.
Hanya dalam beberapa hari, kebakaran itu telah merebak kira-kira 29,000 ekar atau 45 batu persegi, bersamaan dengan dua kali ganda saiz Manhattan.
Artikel berkaitan : Dikenali Sebagai Fire Tornado, Pusaran Api Muncul Ketika Kebakaran Di Los Angeles
Artikel berkaitan : ‘Palisades Fire’ Di Los Angeles Korbankan 5 Nyawa, Rumah Selebriti Terkenal Turut Hangus Terbakar
Sehingga setakat ini, angka kematian dikatakan meningkat kepada 24 orang dengan lebih banyak kemusnahan berlaku.
Melihat keadaan di media sosial, ia sekaligus membuatkan kita tertanya-tanya apakah punca kebakaran tersebut dan bagaimana ia boleh merebak sampai hampir keseluruhan bandar itu.
Malah ingin diketahui juga keadaan penduduk di sana sekarang dan tindakan daripada pihak berkuasa terhadap mangsa yang terlibat. Ikuti penjelasannya di sini.
Punca kebakaran
Menurut sumber, punca kebakaran masih dalam siasatan dan pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan pelbagai kemungkinan termasuklah pembakaran daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Sebaik sahaja kami mendapat maklumat, kami akan berkongsi dengan anda semua. Saya pastikan ada sebab yang kukuh, ramai yang nak sangat tahu,” kata Ketua Jabatan Bomba L.A. Kristin Crowley kepada pemberita.
Difahamkan, wartawan dan saksi di lokasi kejadian dapat melihat sendiri api merebak dengan cepat, dari satu tempat ke satu tempat, ditambah lagi dengan angin yang kencang yang membuatkan api makin marak.
Bagaimana kebakaran boleh jadi seteruk itu?
Menurut pakar, kebakaran telah didorong oleh angin kencang, ditambah pula kawasan tersebut penuh dengan tumbuh-tumbuhan kering akibat kemarau beberapa tahun kebelakangan ini
Jadi, ia sekaligus menjadikan tempat itu lebih mudah terdedah kepada kebakaran kerana L.A. dipenuhi dengan tumbuhan yang mudah terbakar. Terjadinya kebakaran tersebut ditambah pula dengan ribut, ia membuatkan api merebak dengan mudah.
Menurut pakar lagi, kejadian ini juga berlaku akibat perubahan iklim dalam jangka masa panjang.
“Sekarang sudah Januari, tetapi California Selatan kekal kering, dicengkam oleh kemarau dan suhu tinggi.
“Dalam konteks ini, kemarau dan panas terjadi lebih cenderung kepada perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia, jadi kebakaran yang berlaku sekarang ini agak luar biasa,” kata Jacob Bendix, seorang profesor emeritus di Universiti Syracuse, dalam satu kenyataan.
“Kita mesti menyedari bahawa kebakaran seperti itu berkemungkinan menjadi satu perkara biasa pada masa hadapan. Berita ini akan dilupakan selepas beberapa hari atau minggu, tetapi kesan dari segi kehilangan tempat tinggal dan tempat kerja akan meninggalkan bekas mendalam terhadap penduduk tempatan.
“Hampir semua orang di rantau ini mungkin menghadapi peningkatan kos insurans, atau kesukaran mendapatkan insurans sama sekali.”
Bekalan air di Los Angeles terputus?
Difahamkan penggunaan air diperlukan lebih banyak daripada biasa, pegawai bandar dan daerah Los Angeles menggambarkan kebakaran itu sebagai kejadian ‘badai sempurna’.
Ia di mana tiupan angin kencang mencapai kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) yang mana menghalang mereka daripada menggunakan pesawat untuk menyembur air dan bahan penghalang api ke kawasan yang terjejas pada peringkat awal.
Pada pagi Rabu, ketika angin kuat menyebabkan api marak, anggota bomba dilaporkan menzahirkan kebimbangan melalui siaran radio mereka.
“Kami kehilangan kebanyakan tekanan hidrant (sistem pemadam kebakaran yang berfungsi sebagai terminal air),” kata seorang anggota bomba sekitar jam 2:45 pagi waktu tempatan ketika meminta bantuan untuk mengisi semula tangki bomba, menurut rakaman penghantaran daerah.
Malah, mereka juga memerlukan bekalan air yang lebih banyak daripada biasa memandangkan kebakaran di situ begitu teruk. Ketua Eksekutif dan Ketua Jurutera Jabatan Air dan Kuasa Los Angeles, memberitahu pemberita minggu ini bahawa terdapat permintaan sebanyak empat kali daripada biasa selama 15 jam berturut-turut, yang menurunkan tekanan air mereka.
Beliau turut berkata, sepanjang 9 Januari lepas, tiga tangki air telah kering dan terdapat juga masalah mengekalkan tekanan air dalam talian bekalan.
“Jika ada mesej yang anda ambil daripada saya hari ini, adalah saya memerlukan pelanggan kami untuk benar-benar menjimatkan air – bukan sahaja di kawasan Palisades, tetapi keseluruhan sistem kerana jabatan bomba memerlukan air untuk memadamkan kebakaran.”
Lebih teruk lagi, pada 10 Januari lepas, disebabkan saiz kebakaran semakin meningkat, Astro Awani menjelaskan bahawa pihak bomba terpaksa mengambil air dari kolam renang dan tasik untuk memadam kebakaran itu.
Selain orang tempatan, rumah para selebriti terkenal Hollywood seperti Paris Hilton, Mandy Moore Billy Crystal, Kendal Jenner dan ramai lagi antara terjejas dan musnah dalam kebakaran ini.
Sumber: Astro Awani, People, Berita Harian