Sepasang suami isteri maut selepas kereta jenis Ford Mustang yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh tiang elektrik dalam nahas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, berhampiran simpang Felda Pemanis, pada Isnin.
Menurut laporan, mangsa dikenali sebagai Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya Nur Syamimi Rosli, 36, dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Segamat.
Polis memaklumkan kejadian berlaku sekitar 2 petang apabila kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tiang elektrik. Kedua-dua mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Artikel berkaitan: Terjatuh Dari Ketinggian Sekitar 21 Meter, Penunggang Motosikal Maut Terjatuh Jejambat Di Lebuhraya DASH
Artikel berkaitan: 7 Bulan Terpisah, Suami ‘Surprise’ Isteri Bawa Naik Ford Mustang Tanda Terima Kasih Uruskan Anak-Anak
Sempat bayar gaji staf
Difahamkan, pasangan ini merupakan pemilik kedai emas Mimiey D’Jewels dan turut mengusahakan sebuah kafe, LeyParking Cafe.
Salah seorang pekerjanya yang berkongsi berita sedih itu berkata, arwah majikannya iaitu Syamimi sempat memasukkan duit gaji semua pekerja sebelum kemalangan berlaku.
“Beliau (Syamimi) sudah lama tidak datang ke kedai. Semasa beliau hendak memulakan perjalanan, beliau sempat memasukkan duit gaji pekerja dan selepas itu diam begitu sahaja.
“Banyak yang menjadi tanda tanya kenapa akhir-akhir ni beliau selalu membuat posting video ayat sedih serta menyentuh hati semua.
“Minta jasa baik semua, kita sama-sama sedekahkan surah al-Fatihah kepada arwah bos saya dan suami tercinta,” ujarnya.
Hantaran itu mengundang rasa sedih dalam kalangan pengikut yang rata-ratanya mendoakan agar kedua-duanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sementara itu, polis menyatakan siasatan awal mendapati hujan lebat di lokasi kejadian menjadi faktor pemandu gagal mengawal kenderaan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Berita Harian, TikTok