Sebagai ahli keluarga sudah semestinya kita mahukan keadilan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pesalah yang menyebabkan kecederaan kepada darah daging kita sendiri kan? Begitulah yang dimahukan Edrio Edmond dan keluarganya selepas bapa saudaranya cedera ditembak di hadapan rumah.
Menurut Edrie, bapa saudaranya berada di kebun kecilnya sedang memetik buah sebelum ditembak kerana mangsa disangka seekor monyet. Kejadian berlaku pada 11 Ogos 2016 di Kampung Chepor Dalam, Ipoh.
Penembak itu kemudian dikenal pasti sebagai Dato’ Abdul Razak bin Haji Bokhari, bekas Ketua Polis Pahang dan pesara Pengarah Pengurusan di Bukit Aman.
“Ketika sedang memanjat pokok untuk memetik buah rambutan, bapa saudara saya ditembak di lengan kanannya oleh seseorang yang bodoh yang sangka dia ternampak seekor monyet.
Pertama sekali, ketika itu waktu petang dan jika benar monyet sekalipun, kenapa lelaki yang tiada otak itu perlu menembak seekor monyet?”
Menurut Edrio lagi, bapa saudaranya itu telah menderita selama 5 bulan selepas kejadian namun masih tiada tindakan diambil terhadap penembak berkenaan.
“Bayangkan jika peluru itu tidak terkena di bahagian lengan kanan sebaliknya di bahagian dada. Kepada penembak itu, jika anda baca status ini, mengapa tidak awak benarkan saya tembak awak di lengan kanan supaya awak dapat merasakan bagaimana sakitnya ditembak.”
Edrio turut menceritakan bagaimana bapa saudaranya itu harus melalui pelbagai dugaan seperti pembedahan, fisioterapi dan trauma selain turut mengalami penderitaan ketika di tandas, mandi dan juga ketika tidur.
“Tahukah anda berapa jenis ubat tahan sakit perlu diambil untuk bapa saudara saya dapat tidur dengan lena? Tahukan anda berapa kali bapa saudara saya tidak dapat tidur yang nyenyak? Sehingga hari ini dia masih menderita tetapi penembak masih bebeas malah tidak dipenjarakan pun.
Jika tiada tindakan diambil, bermakna memang jelas tiada undang-undang di negara ini, hanya ada undang-undang untuk melindungi mereka yang berpangkat tinggi jika mereka melakukan kesilapan.”
Susulan insiden itu, keluarganya sudah pun membuat laporan polis.Tiada apa yang dimahukan Edrio dan keluarganya melainkan keadilan ditegakkan dan tindakan undang-undang dikenakan kepada penembak berkenaan.
“Kemalangan ataupun tidak, keadilan harus ditegakkan,” akhiri Edrio.