in

Bekas Isteri Pun Datang! Majlis Kahwin Ketiga Aamir Khan Curi Perhatian

Syaz Ft 2026 07 07T125257.262

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bintang mega Bollywood, Aamir Khan, sekali lagi menjadi bualan hangat peminat industri hiburan selepas selamat melangsungkan perkahwinan buat kali ketiga bersama pilihan hatinya, Gauri Spratt, dalam satu majlis tertutup yang penuh bermakna.

Majlis perkahwinan pelakon berusia 61 tahun itu diadakan secara ringkas dan intim di kediamannya yang terletak di Bandra, Mumbai pada hari Ahad lalu. Walaupun bergelar superstar bertaraf A-list, Aamir memilih untuk mengadakan majlis pendaftaran perkahwinan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan karib sahaja.


Artikel berkaitan: Aamir Khan Berdepan Tindakan Undang-undang Atas Dakwaan Hina Tentera India Dalam Movie Baru

Artikel berkaitan: “Penonton suka sangat” – Selama 3 Dekad, Filem Klasik Bollywood Ini Masih Lagi Relevan Ditayang Di Pawagam

Apa yang paling mencuri tumpuan netizen dan media adalah keakraban serta keharmonian keluarga besar Aamir Khan. Di sebalik majlis yang serba ringkas itu, kelibat bekas isteri beliau tetap kelihatan hadir memberikan sokongan moral dan restu buat pasangan pengantin baharu.

Malah, anak-anak hasil perkongsian hidupnya daripada perkahwinan terdahulu iaitu Junaid Khan, Ira Khan, dan Azad Rao Khan turut hadir bersama-sama meraikan hari bahagia bapa mereka. Sikap matang dan keterbukaan yang ditunjukkan oleh keluarga ini nyata mendapat pujian ramai kerana mengekalkan hubungan silaturahim yang sangat erat demi anak-anak meskipun ikatan perkahwinan sebelum ini sudah berakhir.

Bekas Pemain Kriket India ‘Belanja’ Video Eksklusif

Majlis intim tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa tetamu VIP, pengarah tersohor Rajkumar Hirani, ahli politik Raj Thackeray, serta bekas bintang kriket kebangsaan India, Irfan Pathan.

Keadaan dalam majlis yang selama ini dirahsiakan akhirnya terbongkar selepas Irfan Pathan berkongsi video eksklusif di akaun media sosialnya bagi mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baharu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Irfan Pathan (@irfanpathan_official)

“Kepada Amir Bhai & Gauri, selamat pengantin baru! Mendoakan agar perkahwinan ini dipenuhi kasih sayang, kebahagiaan, tawa, dan kebersamaan seumur hidup…” tulis Irfan di ruangan kapsyennya.

Melalui video tular yang dikongsikan oleh Irfan, pasangan pengantin baharu dilihat begitu romantis membaca ikrar perkahwinan sambil disaksikan anak-anak, sebelum acara diteruskan dengan sesi tarian bersama tetamu yang hadir.

Gauri yang anggun mengenakan persalinan tradisional berwarna putih gading kelihatan tersenyum gembira di samping suaminya.

Kisah Cinta 25 Tahun

Mengulas mengenai hubungan mereka, Aamir dan Gauri sebenarnya sudah saling mengenali hampir 25 tahun lalu sebelum terputus hubungan. Takdir kembali menemukan mereka di Bengaluru melalui sepupu Aamir, Nuzhat Khan.

Hubungan mereka mula serius sekitar tahun 2024 dan Aamir secara rasmi memperkenalkan Gauri sebagai pasangannya kepada pihak media ketika sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Mac 2025 yang lalu.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan ketiga buat Aamir Khan. Beliau sebelum ini pernah berkahwin dengan Reena Dutta (1986–2002) dan dikurniakan dua cahaya mata, Junaid dan Ira. Selepas itu, beliau mendirikan rumah tangga dengan pengarah Kiran Rao pada 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Azad Rao Khan, sebelum mengumumkan perpisahan secara baik pada 2021.

Sumber: Times of India, Instagram

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.