Seorang wanita yang merupakkan bekas isteri seorang pegawai polis kanan di Thailand telah ditahan atas dakwaan membunuh 12 rakan dan kenalannya dengan meletakkan racun sianida dalam makanan mereka.
Menerusi laporan, Sararat Rangsiwuthaporn yang sedang hamil empat bulan ditahan di Bangkok berikutan siasatan terbaharu mengenai kematian seorang rakan wanitanya awal bulan ini.
Polis mengatakan bahawa suspek telah melakukan jenayah terancang berikutan beberapa kes pembunuhan beberapa individu yang pernah ada kaitan dengan dirinya, dan kesemua mereka mati dalam keadaan yang serupa.
Buat jenayah terancang sejak 2020
Media tempatan melaporkan, terdapat seorang mangsa yang terselamat, dan telah memberikan maklumat kepada polis berkenaan pertemuannya dengan suspek.
Mangsa yang terselamat menceritakan, dia berasa sesak nafas, hilang deria dan lemah anggota badan selepas mengambil pil yang ditawarkan oleh Sararat di sebuah pusat beli-belah di Kanchanaburi. Suspek juga ada meminjam wang sebanyak 250,000 baht (RM32,584) kepada mangsa.
Menurut polis, pembunuhan bermula sekitar Disember 2020 dan mangsa lain termasuk bekas pasangan Sararat serta dua pegawai polis didakwa meninggal dunia dengan cara yang sama.
Satu bahan dipercayai racun sianida ditemui di rumah suspek, yang disyaki dibubuh dalam makanan dan minuman mangsa. Polis percaya wang merupakan motif bagi kesemua pembunuhan itu.
“Selain tuduhan pembunuhan terancang, polis akan mengenakan tuduhan tambahan, termasuk niat mencuri harta benda, meracun dan mencuri,” katanya.
Dalam pada itu, bekas suami suspek yang merupakan pegawai polis dan kakaknya seorang ahli farmasi akan dipanggil untuk disoal siasat.
Baca: Kisah Mbah Slamet, Dukun Pengganda Wang Yang Korbankan Lebih 10 Orang Mangsa