Baru-baru ini, empat orang adik beradik telah ditemui hidup selepas 40 hari tersesat dalam hutan Amazon. Kisah survival kanak-kanak ini telah mendapat liputan yang luas di seluruh dunia lebih-lebih lagi yang paling kecil baru berusia setahun.
Bila perkara macam ni berlaku, kita mesti terfikir kalau kita berada dekat situasi macam ni, boleh ke kita survive? Namun begitu, malang tak berbau, bila-bila masa je kita boleh berdepan dengan situasi hidup dan mati dan perlu berfikir secara kritikal untuk meneruskan hidup.
Pada artikel kali ini, min akan senaraikan beberapa kisah survival epik yang pernah dilalui oleh orang-orang ini ekoran berlaku sesuatu yang tak dijangka.
1. Pasukan bola sepak remaja Thai
Selepas latihan bola sepak pada Jun 2018, 12 ahli kumpulan bola sepak Thailand, The Wild Boars dan jurulatih mereka telah membuat keputusan untuk pergi ke gua Tham Luang yang juga merupakan salah satu gunung terpanjang di Thailand.
Remaja yang berusia 11 ke 16 tahun beserta jurulatih mereka yang berusia 25 tahun telah meredah air dan meneroka gua tersebut. Malang tidak berbau, ketika mereka di dalam gua tersebut, banjir telah berlaku dan menyebabkan mereka tertolak jauh ke dalam dan akhirnya menemui tempat tinggi sejauh empat kilometer ke dalam. Ruang gua tersebut kemudiannya dipenuhi air sehingga memerangkap 12 remaja ini selama 17 hari.
Untuk pengetahuan korang, ketika sembilan hari pertama mereka tidak mempunyai apa-apa makanan dan hanya bergantung kepada air stalaktit yang menitik dari gua.
Tapi dorang semua tak hanya duduk dan menunggu untuk diselamatkan. Apabila sedar dorang dah terperangkap, ahli kumpulan bola sepak ini mula mengambil giliran untuk menggali lubang sebesar 16 kaki pada dinding gua dengan harapan dapat temui jalan keluar.
Selain itu, mereka juga turut bermeditasi bagi menyimpan tenaga dan mengelak dari berfikir tentang makanan. Cuba untuk meneruskan hidup bukanlah satu-satunya cabaran dorang. Askar laut Thai telah masuk ke dalam gua untuk membantu dan bercakap dengan remaja-remaja ini sambil penyelamat membuat rancangan untuk mengeluarkan mereka dengan selamat.
Dalam masa tiga hari, penyelam telah mengambil pemain bola ini satu per satu bersama jurulatih mereka. Ketika cuba untuk keluar ke permukaan, setiap remaja ini diminta untuk memakai topeng penyelam dan diikat kepada dua penyelam dan perlu berenang selama berjam-jam melalui selekoh dan jalan yang sangat-sangat sempit.
Atas bantuan askar laut Thai dan komuniti penyelam antarabangsa, kesemua remaja dan jurulatihnya berjaya diselamatkan dan dipulangkan ke keluarga mereka.
Namun begitu, salah seorang bekas askar laut Thai telah meninggal dunia ketika misi menyelamat dijalankan.
2. Angela Hernandez
Pada Julai 2018, Angela Hernandez yang sedang memandu SUV miliknya berhampiran Big Sur di Highway 1, menghala ke Selatan California telah dikejutkan dengan seekor binatang yang tiba-tiba melintas jalan. Angela telah cuba mengelak dan akibatnya dia telah terbabas dan terjatuh ke tepi tebing setinggi 200 kaki sebelum terhempas ke atas pantai berbatu.
Angela telah mengalami pendarahan otak, retak tulang rusuk, patang tulang selangka, salur darah pecah pada kedua-dua mata dan paru-paru runtuh namun wanita ini tak mati. Selepas dia sedar, air telah pun naik ke lutut dan wanita ini telah pecahkan tingkapnya menggunakan pisau serbaguna dan merangkak keluar dari tingkap, berenang ke pantai dan pengsan.
Apabila dia sedar semula, dia tak mempunyai kasut dan cedera parah namun dia tetap cuba bangun ke daratan untuk mendapatkan pertolongan. Dia menggunakan hos dari keretanya untuk mengutip air yang menitik dari lumut di sepanjang pantai. Dia berjalan selama berhari-hari, dan apabila dia naik ke atas, dia dapat melihat kereta lalu lalang namun kereta-kereta ini tak dapat melihat atau mendengar jeritannya.
Selepas tujuh hari, beberapa orang pendaki yang sedang mencari tempat di pantai untuk memancing telah menemui keretanya yang hancur dan mula membuat pencarian di pantai sehingga menemui Angela yang sedang tidur disebalik batu. Mereka memberi wanita ini air dan memanggil bantuan kecemasan. Akhirnya, penyelamat telah menggunakan tali untuk mengambil Angela dan membawanya ke hospital.
3. Keluarga Robertson
Selama 38 hari, keluarga Robertson telah hilang di laut. Dougal Robertson, seorang penternak tenusu British ini mahu membawa keluarganya menaiki bot. Disebabkan ini, pada 27 Januari 1971, Dougal, isterinya dan empat orang anak mereka telah menaiki bot yang diperbuat dari kayu dan berlayar ke beberapa tempat.
Douglas, anak sulung telah memberitahu BBC yang bapanya telah membuat persiapan untuk trip ini. Selama 17 bulan, keluarga ini telah melalui pelayaran yang baik dan berlayar dari satu tempat ke satu tempat untuk melihat dunia.
Namun pada 15 Jun 1972, keluarga ini telah bertembung dengan sekumpulan paus pembunuh yang telah menyerang bot mereka dan membelah dan merosakkan bot tersebut. Kapal ini mula karam dan apa yang tinggal hanyalah bot penyelamat yang kecil dan bekalan makanan selama enam hari. Mereka meneruskan hidup dengan air hujan dan memburu penyu dan hanyut di lautan dengan harapan dapat mengikut arus lautan pasifik untuk ke tengah lautan yang kemudiannya akan menolak mereka menghala ke Amerika.
Selepas 16 hari, bot pelampung yang dorang naiki tak dapat lagi digunakan jadi mereka telah berpaut pada sebuah perahu berukuran 10 kaki yang tidak dapat menampung kesemua dari mereka. Namun begitu, mereka berjaya bertahan sehingga mereka ditemui oleh nelayan Jepun pada 23 Julai 1972.
4. Juliane Koepcke
Juliane Koepcke mempunyai dua kisah survival untuk dikongsikan. Pada Ambang Krismas 1971, Juliane telah terbang menggunakan pesawat LANSA 508 yang telah disambar petir dan mula hancur di udara.
Juliane pada ketika itu masih memakai tali pinggangnya apabila pesawat ini mula menjunam dua batu di atas hutan hujan Peruvian.
Ketika pesawat ini terhempas, Juliane telah mengalami kecederaan teruk, badannya lebam-lebam, tulang selangkanya patas namun dia hidup dan merupakan satu-satunya orang yang terselamat. Kemudian, dia terkandas di dalam hutan keseorangan dengan beberapa gula-gula sebagai makanannya dan sungai kecil untuk minum.
Serangga-serangga di dalam hutan hampir memakannya hidup-hidup manakala ulat telah menjangkiti lengannya. Namun selepas sembilan hari, Juliane berjaya menemui satu kawasan perkhemahan di mana dia telah merawat dirinya termasuk menuang petrol ke arah tangannya yang dijangkiti ulat.
Beberapa jam kemudian, seorang pekerja kayu telah menemui wanita ini dan memberikan rawatan kecemasan sebelum membawa Juliane ke tempat yang berpenghuni di mana dia telah di bawa menaiki helikopter untuk ke hospital.
Kisah survival wanita ini telah diceritakan di dokumentari bertajuk Wings of Hope yang diarahkan oleh Werner Herzog. Untuk pengetahuan korang, Werner telah menempah satu tempat duduk di pesawat yang sama sebelum membatalkannya pada minit-minit terakhir.
5. Aron Ralston
Aron Ralston selamanya akan dikenali sebagai lelaki yang memotong tangannya untuk lepas dari kemalangan yang dialaminya ketika mendaki. Aron telah mendaki Blue John Canyon yang terletak di Utah seorang diri, ketika dia cuba untuk turun dari canyon itu, satu batu besar telah tergolek dan menghimpit tangannya.
Malang untuk Aron apabila tiada siapa yang tahu dia berada di situ, bekalan air dan makanannya pula hanya tinggal sikit, jadi dia perlu menyelamatkan dirinya sendiri. Selama tiga hari, Aron telah berusaha untuk melepaskan tangannya yang tersepit sebelum membuat keputusan untuk memotong tangannya bagi melepaskan diri. Tapi selepas dua hari cuba bermacam-macam cara untuk memotong tangannya lelaki ini hampir putus asa. Ketika ini juga bekalan airnya habis sehingga dia terpaksa minum air kencingnya sendiri.
Pada hari keenam, lelaki ini mula mendapat idea yang dia boleh memotong tangannya dengan mudah jika dia dapat pecahkan bahagian radius dan ulna. Selepas sejam mencuba dengan menggunakan pisau serbaguna, Aron berjaya memotong tangannya.
Namun, untuk kembali ke kenderaannya, dia perlu turun dari dinding setinggi 65 kaki dengan satu tangan. Dia kemudiannya telah ditemui oleh keluarga Eropah yang sedang berkhemah. Selepas enam jam dia memotong tangannya, dia telah diselamatkan oleh pihak berkuasa tepat pada masanya.
Ketika dia diselamatkan, Aron hampir meninggal dunia akibat kehilangan darah. Hari ini, Aron masih aktif mendaki dan memberikan ceramah tentang pengalamannya.
Sumber: Popular Mechanics