Perpustakaan Negeri Sabah di Tanjung Aru, Kota Kinabalu telah dirasmikan baru-baru ni dan antara yang mendapat perhatian adalah bahagian kanak-kanak yang dilengkapi dengan beberapa kemudahan.
Tapi, malangnya seminggu selepas ia dibuka kepada orang awam, tempat itu dah jadi mangsa vandalisme. Bukan orang dewasa tapi oleh kanak-kanak sendiri!
Menurut Malay Mail, gambar perpustakaan tu mula tersebar melalui Whatsapp dan Facebook menunjukkan bahagian kanak-kanak telah rosak akibat perbuatan vandalisme.
Bahagian kanak-kanak yang bertemakan laut tu dilengkapi dengan fasiliti seperti rak dibina khas, ruang bercerita, buaian, tempat berehat selain bean bag dan bantal.
Namun, menurut pekerja di situ, bahagian tersebut telah menjadi mangsa vandalisme selepas dinding dipenuhi lukisan dan rak yang telah dirosakkan. Melalui gambar yang tersebar, dinding tu boleh dilihat penuh dengan lukisan dan nama kanak-kanak menggunakan krayon selain rak berwarna putih turut menjadi tempat melukis bermacam jenis grafiti.
Bukan tu je, menurut mereka juga, toilet seat dengan tong sampah pun dirosakkan. Staf perpustakaan dah cuba menegur ibu bapa tentang tingkah laku anak-anak tapi sebaliknya mereka tidak beri kerjasama malah melawan dan marah semula pada pekerja di situ.
Wong Vui Yin, Pengarah Perpustakaan menzahirkan rasa kecewanya terhadap aktiviti vandalisme tu dan menganggap ianya berpunca daripada ibu bapa yang tidak bertimbang rasa dan tiada rasa hormat.
“Inilah jadinya apabila ibu bapa kurang kesedaran sivik. Mereka tidak tahu untuk menjaga harta benda awam.”
Difahamkan, bahagian tu kini ditutup untuk menjalankan proses-proses pembersihan dan baik pulih. Wong juga berkata, peraturan baru akan dilaksanakan untuk elak perkara ni terjadi lagi di masa akan datang.
Kalau benda-benda macam ni nak salahkan siapa? Patut ke salahkan ibu bapa? Apa pendapat korang? Ce komen sikit…