Sebelum ini, isu khemah biru besar di Pantai Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi perdebatan ramai.
Ia susulan khemah jenis kanopi itu diletakkan harga sewaan yang mahal selain ‘menyakitkan’ mata pengunjung yang ingin menikmati pemandangan indah pantai tersebut.
Artikel berkaitan: Mulai 18 November Ini, Tiada Lagi Khemah Biru di Pantai Port Dickson
Artikel berkaitan: Tular Isu Khemah, MPPD Sita ‘Khemah Biru’ Pantai Teluk Kemang
Selepas beberapa aduan dibuat, khemah biru itu akhirnya dibuang dan tiada lagi di kawasan peranginan itu.
Pun begitu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengumumkan penyediaan payung pantai yang lebih cantik dan tersusun akan dijalankan pada 11 Januari tahun depan.
Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid berkata, pihaknya sudah membuat perolehan payung pantai terbabit dan ia mengambil sedikit masa kerana membabitkan kuantiti yang banyak.
“MPPD menjangkakan payung pantai yang akan menggantikan khemah biru dapat beroperasi mulai 11 Januari ini tertakluk kepada ketibaan bekalan payung pantai itu.
Setakat ini, sebarang jenis khemah termasuk khemah biru tidak dibenarkan dipasang di kawasan itu,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar sebelum ini dilaporkan berkata, MPPD akan menyediakan kawasan khas untuk penempatan payung pantai melibatkan sebahagian kecil Pantai 2 Telok Kemang dan Pantai 3 Telok Kemang yang dijadualkan bermula hari ini.
Pun begitu, rancangan itu tidak diterima baik oleh netizen malah ramai yang menganggap ia masih memberikan kesan yang sama seperti khemah biru sebelum ini.
Hmm, pendapat korang macam mana pulak?
Sumber: Berita Harian