Seorang ibu, M.Indira Gandi menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menumpukan perhatian kepada pencarian anaknya yang hilang daripada meminta bantuan Interpol untuk menjejak Jocelyn Chia, pelawak yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Menurut laporan The Malaysian Insight, Indira mengkritik tindakan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah yang meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Jocelyn yang menyentuh sensitiviti ramai dalam satu persembahannya dia New York.
Tambah Indira lagi, sepatutnya PDRM meningkatkan usaha untuk mengesan anak perempuannya, Prasana Diksa yang dipercayai telah dibawa lari oleh bekas suami Indira, 13 tahun lalu.
“Saya kecewa dan terkilan dengan kenyataan KPN”
Menurut Indira, dia telah memperjuangkan kes ini selama 14 tahun dan mendakwa pihak polis tidak mengambil berat ke atas kes ini walaupun mengetahui bahawa ianya merupakan sebuah kes berprofil tinggi.

Dia berkata bahawa dia telah melalui semua cara undang-undang untuk mendapatkan pihak polis untuk bertindak terhadap kesnya tetapi mereka masih tidak meneruskannya.
“Kalau isu Jocelyn ini besar sehingga boleh minta bantuan Interpol, bagaimana dengan anak saya yang dah 14 tahun hilang?”
Menurutnya lagi, anaknya dilaporkan hilang sejak 14 tahun dan sehingga kini, status anaknya masih tidak dapat diketahui, sama ada masih hidup atau tidak walaupun Acryl merupakan KPN yang ke-6 ditukar semenjak kesnya dibuka, namun masih menemui jalan buntu.
Terdahulu, KPN berkata pihaknya akan memfailkan permohonan kepada pihak Interpol untuk mengesan Jocelyn kerana menyinggung ramai menggunakan platform di Amerika Syarikat yang tersebar di media sosial mengenai nahas MH370.

Indira telah melawan kes penukaran agama unilateral yang melibatkan bekas suaminya yang telah memeluk Islam, dan mengislamkan tiga anak mereka tanpa pengetahuannya termasuk Prasana ketika dia baru berusia 11 bulan.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan penukaran agama unilateral anak-anak dan memberikan hak penjagaan Prasana kepada ibunya Indira namun pihak polis tidak dapat mengesan keberadaan Prasana atau bapanya, walaupun mempunyai waran tangkap.
Sumber : Malay Mail
Baca : “Panggil Interpol buat saya lebih popular” – Jocelyn Chia Anggap Tindakan PDRM ‘Mengarut’

