Belum reda isu membabitkan Puteri Balqis dan pelakon Mia Sara Nasuha, timbul pula kontroversi baharu apabila ibu kepada Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz, tampil menegur Janna Nick yang didakwa bersikap sinis serta berpura-pura neutral ketika mengulas isu membabitkan anaknya.
Menerusi satu hantaran di Instagram Puteri Balqis (@morosechild), Norashikin meluahkan rasa kecewa terhadap komen Janna di Threads yang menyarankan agar individu yang memberi kesan negatif kepada kesihatan mental disekat.
Menurutnya, frasa “Block je lah dia!” yang disertakan dengan tanda seru seolah-olah menunjukkan Janna memihak kepada pihak tertentu dan secara tidak langsung menekan mereka.
“Nak ambil tahu tak salah, tapi ayat-ayat awak lebih kepada menekan kami. Ini bukan neutral, ini backhanded. Dan saya sangat sedih dengan cara awak,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Norashikin turut menyelar sikap Janna yang didakwa lantang apabila melibatkan isu tertentu, namun berdiam diri ketika Puteri Balqis berdepan buli dan fitnah sebelum ini.
Malah, beliau turut mengimbas kembali insiden lama apabila Janna pernah melatah susulan kecaman netizen.

Artikel berkaitan: “Yang kaki club bukan mak aku, yang kaki botol bukan mak aku. Itu kau. 100% kau” – Puteri Balqis
Artikel berkaitan: “Buat adikku, Fatima” – Puteri Balqis Tulis Puisi ‘Broken Child’, Ini Respon Fazura
Bagaimanapun, Norashikin menegaskan mereka tidak pernah meminta sokongan daripada mana-mana pihak, sebaliknya berpendapat lebih baik berdiam diri sekiranya tiada keperluan untuk bersuara.
Dalam masa sama, beliau memuji pendekatan pelakon Sweet Qismina yang disifatkan ikhlas apabila secara peribadi menghubungi dan memberi kata-kata semangat kepada anaknya.

Mengakhiri luahan itu, Norashikin mendakwa Janna sebenarnya tidak menyukai Puteri Balqis sejak dahulu dan mengamalkan sikap kroni.
“Saya tak nampak sifat itu pada awak. Seperti biasa, awak suka menunggang isu dan acah ‘savage’, tapi lantang tak bertempat.
“Tapi bila isu kami, mana ‘savage’ awak pada pembuli dan pemfitnah? Hilang? Tiba-tiba jadi ustazah kifarah pula?” tulisnya lagi.
Terdahulu, Janna Nick memuat naik beberapa hantaran di Threads berkaitan kesihatan mental, termasuk menyarankan orang ramai agar menyekat individu yang memberi kesan negatif dalam kehidupan, namun tidak menyebut sebarang nama secara khusus.
