Penyanyi Sufi Rashid dan isterinya, Ain tampil menjelaskan isu yang membabitkan pengasuh mereka menerusi satu sesi live TikTok baru-baru ini.
Ia berikutan dengan perkongsian daripada seorang pengguna Threads terhadap layanan buruk yang diterimanya. Berikutan itu, Ain menjelaskan bahawa kejadian tersebut merupakan kali pertama dia meninggikan suara dan sekaligus menyangkal dakwaan yang dia menengking pengasuh berkenaan.
Artikel berkaitan : “Biar peguam saya yang uruskan” – Tular Dakwaan Beri Layanan Buruk Kepada Pengasuh, Sufi Rashid Beri Respon
Artikel berkaitan : Viral Video Di TikTok, Sufian Suhaimi Hantar Rombongan Merisik?
Dalam sesi live tersebut juga, Ain dan Sufi menceritakan pengalaman mereka sepanjang menggunakan khidmat pengasuh tersebut yang disifatkan culas dalam memainkan peranannya sebagai pengasuh yang baik dan didakwa melakukan tugas dengan perlahan.
“Itu pertama kali saya tinggi suara, saya tak tengking. Bila saya tengah makan dengan suami. Kalau saya dah upah pengasuh, sepatutnya dia kena jaga anak saya dahulu sementara kami sedang makan. Anak saya nangis tetapi dia hanya makan sahaja. Saya yang bawa keluar anak saya.”

“Ada satu masa, kami ada keluar jalan dan saya nak naik cable car. Tiba-tiba dia kata nak tunggu bawah sahaja. Apabila saya tidak benarkan, dia buat muka. Sampai kat lapangan kapal terbang, dia duduk je kat kerusi. Tidak bantu saya atau jaga anak saya pun. Awak sepatutnya kena lebih profesional kalau kena marah dengan majikan. Awak kena layan bos awak.”
Berkenaan dengan dakwaan pengasuh yang mengatakan Ain membaling beg ke arahnya, Ain menafikan perkara tersebut.

“Tidak, saya tak baling pun beg tersebut pada dia. Kami pun tidak minta dia untuk angkat barang sebab semua barang itu di atas kereta sorong bayi.”
Dalam pada itu, Sufi pula menitipkan pesanan terbuka buat pengasuh tersebut agar memadamkan hantaran yang dimuat naik kerana tidak mahu memanjangkan isu.
“Kepada pengasuh tersebut, awak tahu awak dah fitnah kami dan apa yang awak cerita itu salah. Kalau awak tahu awak salah, padam sahaja hantaran tersebut dan move on. Kami pun tidak mahu bergaduh seperti ini.”
Sebelum ini, ada seorang pengguna Threads kongsikan pengalaman buruk sepanjang dia bekerja sebagai pengasuh kepada anak seorang artis dan pempengaruh. Biarpun tidak menyebut nama, rata-rata merujuk kepada Ain dan Sufi.
Sumber : Gempak
