in

5 Pelakon Yang Sanggup Buat Perubahan ‘Extreme’ Untuk Buat Watak Nampak Realistik

Collage 6

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Di Hollywood, bidang lakonan memang diambil serius oleh pelakon-pelakon di sana, kadang-kadang sampai ke tahap ekstrem. Walaupun dekat sana ada MUA, pasukan kesan khas dan CGI yang boleh mengubah penampilan seseorang pelakon, tapi ada juga watak yang memerlukan pelakon sendiri untuk membuat pengorbanan.

Lebih-lebih lagi bila ia berkaitan dengan transformasi fizikal seseorang pelakon itu sendiri, walaupun perlu menambah atau menurunkan berat badan secara drastik sehingga mengubah penampilan mereka, selebriti ini telah memaksa diri mereka sendiri bagi membolehkan mereka menjiwai watak sepenuhnya.


Jadi pada artikel kali ini, apa kata kita tengok perubahan ekstrem yang paling menakjubkan dan drastik pernah dilakukan oleh pelakon-pelakon Hollywood dalam sejarah perfileman.

Artikel berkaitan: 3 Pengarah Popular Yang ‘Dera’ Pelakon Di Set Penggambaran?

1. Christian Bale

Perubahan

Transformasi Christian Bale dalam filem The Machinist sering dianggap sebagai perubahan paling ekstrem dalam sejarah sinema. Bagi membawa watak Trevor Reznik, seorang pekerja kilang yang mengalami masalah insomnia, Bale telah menurunkan berat badannya sebanyak 28 kilogram. Ketika tempoh menurunkan berat badan, pelakon ini dikatakan hanya makan sebiji epal, satu tin tuna dan secawan kopi o sahaja setiap hari iaitu lebih kurang 200 kalori.

Disebabkan diet yang ekstrem ini juga, Bale bukan sahaja mengalami perubahan berat badan tapi sikapnya turut berubah. Pergerakannya menjadi lebih perlahan dan berhati-hati sesuai dengan watak yang dimainkan. Malah, dia juga turut cuba untuk tidak tidur bagi menjadikan watak yang dibawanya itu lebih realistik.

Enam bulan selepas The Machinist tamat penggambaran, Bale perlu menaikkan berat badannya secara drastik bagi memainkan wataknya sebagai Batman untuk filem Batman Begins.

2. Charlize Theron

Perubahan pelakon cantik Hollywood, Charlize Theron ketika membawa watak sebagai pembunuh bersiri Aileen Wuornos dalam filem Monster sering dipuji ramai. Mana tidaknya, untuk membawa watak sebagai pelacur bertukar menjadi pembunuh bersiri ini, Theron terpaksa menaikkan badannya sebanyak lebih 10kg dan melalui proses makeup yang lama bagi mengubah penampilannya.

Gigi palsu, solekan tebal dan kulit rosak telah diletakkan kepada pelakon ini bagi membuatkan Theron nampak seperti Wuornos.

Charlize Theron In Monster

Tak cukup dengan itu, Theron turut mengkaji cara percakapan, perangai dan pergerakan badan pembunuh bersiri itu bagi menjadikan wataknya lebih realistik. Dedikasi yang ditunjukkan oleh Theron ini juga telah membuatkan dia berjaya memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

3. Jared Leto

Jared Leto dikenali sebagai seorang pelakon method, dan wataknya sebagai Mark David Chapman iaitu lelaki yang telah membunuh John Lennon dalam Chapter 27 turut diberikan kaedah yang sama. Untuk watak ini, Leto telah menaikkan badannya sebanyak 30kg dengan makan makanan dalam kuantiti yang banyak termasuk aiskrim yang dicampur dengan minyak zaitun dan kicap.

Peningkatan berat badan mendadak ini turut menyebabkan Leto mengalami masalah kesihatan yang serius apabila dia disahkan telah menghidap gout dan kadang-kadang memerlukan dia untuk berkerusi roda.

Perubahan yang dibuat oleh Leto ini adalah disebabkan keinginannya untuk meneroka watak psikologi dan fizikal Chapman ketika pembunuhan Lennon. Penampilannya yang berbadan besar ditambah dengan pergerakan yang menjadi lebih berat sekaligus mencerminkan tahap mental Chapman dan obsesinya terhadap Lennon yang telah memberi kesan kepada tubuh badannya.

Artikel berkaitan: “Sempat minta autograf sebelum bunuh” – Cerita Penuh Kematian John Lennon Ditembak Peminat Sendiri

4. Matthew McConaughey

Matthew Mcconaughey Dallas Buyers Club Movie Transformations

Watak Matthew McConaughey sebagai Ron Woodroof dalam filem Dallas Buyers Club ini telah menjadi satu titik perubahan dalam kerjayanya sebagai seorang pelakon. Bagi memainkan karakter seorang juruelektrik yang didiagnos dengan AIDS dan pejuang rawatan alternatif, McConaughey telah menurunkan berat badannya sebanyak hampir 22kg. Persediaan yang dibuat termasuklah diet ketat iaitu hanya makan ikan, putih telur dan sayur-sayuran.

Selain itu, wataknya ini juga turut menunjukkan perjalanan emosi seorang lelaki yang cuba untuk berjuang melawan penyakit dan persepsi orang. Perubahan fizikal yang dibuat oleh McConaughey untuk watak ini sangat penting kerana ia menunjukkan keparahan penyakit ini dan situasi Woodroof yang terdesak. Ekoran ini, dia telah memenangi Anugerah Akademi untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik sekaligus meletakkan dirinya sebagai seorang pelakon serius yang sanggup mengambil risiko bagi menjayakan wataknya.

5. Anne Hathaway

Anne Hathaway Les Miserables Movie Transformations

Peranan Anne Hathaway sebagai Fantine di dalam Les Misérables bukan sahaja memerlukan kepakarannya untuk mempamerkan emosi yang mendalam tapi juga perubahan fizikal yang ketara. Untuk menjayakan watak ini, Hathaway telah menurunkan berat badan sebanyak lebih 10kg bagi menunjukkan bagaimana karakternya berubah menjadi miskin dan sakit. Selain itu, dia juga turut memotong rambutnya sendiri di dalam filem tersebut sekaligus menunjukkan pengorbanannya sebagai seorang pelakon berdedikasi.

Tak cukup dengan itu, Hathaway juga telah mengambil masa berbulan-bulan untuk membuat persediaan bagi memainkan peranan ini termasuklah mengkaji kehidupan pekerja seks pada abad ke-19 di Perancis untuk lebih memahami watak Fantine.

Menurut salah satu temubual, pelakon-pelakon Les Misérables juga diminta untuk bercakap melalui nyanyian sepanjang penggambaran sama ada ketika di depan mahu pun di belakang kamera bagi membiasakan diri untuk mempamerkan emosi melalui nyanyian dalam filem muzikal ini.

Persembahannya yang menyayat hati ini juga telah membuatkan Hathaway berjaya memenangi Anugerah Akademi untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Sumber: Collider

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.