Lebih 39,000 km paip air jenis asbestos cement (AC) di Semenanjung dan Labuan dilaporkan usang dan perlu diganti segera bagi mengelakkan kerugian negara terus meningkat.
Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), paip ini merangkumi 29% daripada keseluruhan 140,000 km rangkaian dan menjadi antara punca utama kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang kini mencecah 34.4%.

Pengarah Eksekutif Bahagian Ekonomi SPAN, Izan Aziati Samsuri berkata, kerugian akibat NRW kini melebihi RM2 bilion setahun dan boleh mencecah hampir RM4 bilion menjelang 2030 jika tiada tindakan menyeluruh diambil.
“Kadar NRW yang tinggi menyebabkan negara menanggung kerugian besar setiap tahun dan jumlah itu dijangka terus meningkat sekiranya penggantian paip dan penambahbaikan infrastruktur tidak dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kewangan operator air, malah meningkatkan risiko gangguan bekalan, terutama ketika permintaan meningkat dan sumber air semakin terhad.

Artikel berkaitan: MYWATER 2025: Masa Depan Air Malaysia Di Tangan Kita!
Artikel berkaitan: Bil Elektrik Melambung? PETRA Galak Rakyat Beralih ke Skim ‘Time of Use’ (ToU)
Bagi mengatasinya, SPAN menekankan keperluan penggantian paip usang, pelaksanaan District Metering Zone (DMZ) serta penggunaan teknologi seperti AI dan sistem pemeteran pintar.
SPAN turut menyokong Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang memberi tumpuan kepada kelestarian sumber air dan pengurangan NRW.
Sumber: Berita RTM
