Memalsukan dokumen serta informasi merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara.
Terbaru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman 33 individu termasuk tiga doktor ortopedik di Pulau Pinang.
Ianya untuk membantu siasatan berhubung kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai lebih RM2.1 juta sejak 2017.
Artikel berkaitan: Anak Menteri Besar Direman SPRM, Bantu Siasatan Pemalsuan Dokumen RM600K
Artikel berkaitan: “Pegawai SPRM profesional” – Alif, Aisyah Sempat Kongsi Pengalaman Manis, Anggap Tahanan Reman Pengajaran
Menurut laporan Astro AWANI, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret George Town hari ini terhadap semua suspek berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.
Nadratun Naim memerintahkan tiga doktor berkenaan direman selama dua hari bermula hari ini sementara seorang wanita yang juga isteri salah seorang suspek lain direman sehari.
Difahamkan, tiga orang doktor berkenaan masing-masing berusia 36, 50 dan 57 tahun bertugas di Bahagian Ortopedik Hospital Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan hospital swasta di Butterworth.
Dalam pada itu, 30 individu lain terdiri daripada pekerja swasta, ejen dan ‘runner’ sindiket ditahan SPRM dalam operasi bermula 5 pagi hingga 10 malam tadi.
Kebanyakan tuntutan palsu berkenaan dibuat berkait kecederaan Anterior Cruciate (ACL) dan masalah tulang rawan tergelincir (Slip Disc) berjumlah RM2.1juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sumber: Astro AWANI