Macam yang korang tahu, semalam lebih kurang jam 8.45 malam, dua LRT di laluan Kelana Jaya telah bertembung. Kemalangan ini berlaku di antara stesen KLCC dan Kampung Baru. Ekoran dari ini, 47 penumpang cedera parah dan 166 yang lain alami cedera ringan.
Dalam sidang media yang dibuat sebentar tadi, Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Dato Sri Tajuddin Abdul Rahman telah memberitahu bahawa insiden tersebut adalah tak disengajakan serta turut memberikan simpati terhadap mangsa kemalangan.
Tajuddin juga turut memohon maaf kepada orang ramai berhubung insiden tersebut dan menegaskan yang ini merupakan kali pertama kemalangan seperti ini berlaku, lapor FMT.
Ini merupakan tragedi dan kemalangan ini di luar kawalan kami. Kami telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan servis kami selamat.”
Selepas berbincang dengan Prasarana Berhad, Tajuddin mengatakan kesemua 213 penumpang akan menerima pampasan sebanyak RM1,000 setiap seorang tanpa mengira keadaan.
Selain dari itu, mangsa-mangsa yang terpaksa dimasukkan ke hospital juga turut akan ditanggung oleh pihak Prasarana. Bagaimanapun, jumlah bagi setiap mangsa bergantung kepada keadaan individu.
Kami amat prihatan kepada mereka yang pendapatannya terjejas akibat dari insiden ini, oleh itu kami akan membantu mereka untuk beberapa hari sehingga mereka boleh bekerja semula.