Gara-gara tidak suka dengan bunyi yang datang dari mesin ventilator, seorang wanita warga emas bertindak menutup suis mesin berkenaan walaupun ia sedang dipasangkan pada seorang pesakit lain.
Warga emas yang berusia 72 tahun itu ditahan selepas melakukan kesalahan sama sebanyak dua kali meskipun sudah diberi amaran oleh pihak hospital. Dia yang juga pesakit di hospital terbabit kini berdepan tuduhan cubaan membunuh.
Sumber melaporkan, kejadian yang berlaku di sebuah hospital di Jerman pada Selasa lalu mengakibatkan mangsa yang berusia 79 tahun terpaksa disedarkan semula. Meskipun nyawanya sudah tidak dalam bahaya, mangsa masih memerlukan rawatan rapi.
Menurut kenyataan polis Mannheim, kira-kira sebelum jam 8 malam, suspek difahamkan telah menutup suis mesin ventilator mangsa kerana mendakwa terganggu dengan bunyi yang keluar daripada mesin itu.
Walaupun sudah diberi amaran oleh pihak hospital bahawa mangsa sangat memerlukan mesin terbabit, suspek sekali lagi bertindak menutup mesin berkenaan selang sejam kemudian.
Sumber: Metro