Seorang warga emas berumur 80 tahun dilaporkan telah didenda sebanyak RM1000 kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas menunggu bantuan makanan di luar rumah.
Warga emas tersebut atau lebih mesra dikenali sebagai Mr. Li dikatakan sedang menunggu berhampiran kawasan restoran untuk menerima bantuan makanan pada 10.30 pagi pada Sabtu lalu (11 April), apabila beliau didatangi oleh anggota polis.
Mr. Li disyaki telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bersiar-siar di luar rumah, mengakibatkan beliau didenda sebanyak RM1000.
Menurut Li Junmin, Ketua Pegawai Kewangan Buddha Ayer Kuning, Mr. Li tinggal bersendirian di sebuah rumah usang dan merupakan seorang yang sangat susah. Beliau kebiasaanya akan menoreh getah, bercucuk tanam atau melakukan apa-apa pekerjaan untuk meneruskan kehidupan untuk mengisi perut.
Terang Li Junmin lagi, untuk membantu golongan warga emas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, organisasi Buddha akan membantu mereka dengan menyediakan dua hidangan makanan dalam sehari di restoran berdekatan.
“Saya yakin dia keluar hanya untuk mengambil makanan di restoran”
Li Junmin juga mendedahkan bahawa Mr. Li sebenarnya menghidap penyakit ‘narcolepsy’, sebuah penyakit masalah tidur di mana seseorang itu boleh tidur secara tiba-tiba pada bila-bila masa.
Untuk menyelesaikan masalah ini, penduduk kampung di Ayer Kuning telah membuat kutipan derma untuk membantu membayar denda buat Mr. Li.
Sumber: Sinchew