Percutian keluarga yang sepatutnya penuh keceriaan bertukar pilu buat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Abd. Halim Jusoh apabila anak keduanya, Nurhazwani Abd. Halim, 34, lemas ketika mandi di kolam sebuah resort di sini semalam.
Menurut Abd. Halim, kejadian berlaku terlalu pantas. Hanya beberapa saat selepas menantunya berpaling, arwah tiba-tiba tenggelam di kolam dewasa.
“Ketika mandi, anak saya dan menantu berada berdekatan. Tapi tak sampai seminit suami berpaling, Wani terus tenggelam.
“Menantu saya terus terjun selamatkan dia dan cuba buat CPR bersama kakitangan resort,” katanya, lapor Sinar Harian.
Artikel berkaitan: Tular Rakaman Kenderaan Dihanyutkan Arus Deras, Kakitangan Sabah Electricity Dikhuatiri Lemas
Artikel berkaitan: Tragedi Dua Beradik Lemas: Mahkamah Tinggi Syariah Seremban Sahkan Status Agama Mangsa

Beliau berkata, Nurhazwani, yang juga pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang dibawa ke Hospital Kemaman, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
“Suami dan kakitangan resort dah cuba sedaya upaya sebelum pegawai perubatan tiba. Saya berada di sisinya, pegang tangan dia sampai doktor sahkan meninggal dunia. Mereka dah buat yang terbaik, tapi Allah lebih sayangkannya,” katanya.
Abd. Halim memberitahu, anaknya itu seorang yang penyayang, teratur dan sentiasa menjadi perancang utama setiap kali keluarga mereka bercuti atau berkumpul.
“Sebelum ke resort tu, kami sempat buat hari keluarga di sini. Wani yang selalu urus semua sebab dia jenis terancang dan suka pastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Suasana pilu menyelubungi Unit Forensik Hospital Kemaman apabila lebih 200 ahli keluarga dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; ADUN Kijal, Datuk Razali Idris; dan bekas ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.
Proses bedah siasat selesai kira-kira jam 3.30 petang sebelum jenazah dibawa pulang ke Bangi, Selangor untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang.