Semalam, agensi keselamatan dan kesihatan United Kingdom (UK) menyatakan kebimbangan mereka terhadap varian Covid-19 terbaru yang dikenal pasti merebak luas di Afrika Selatan sejak kebelakangan ini.
Perkara ini menimbulkan kegusaran apabila varian tersebut dikatakan berpotensi untuk menjadikan vaksin kurang efektif.
Sehubungan dengan itu, Britain mengumumkan bahawa mereka akan menyekat penerbangan dari Afrika Selatan dan lima negara lain secara sementara mulai 12 tengah hari Jumaat. Warganegara Britain yang pulang dari negara-negara tersebut pula diwajibkan untuk mengkuarantinkan diri.
Menurut Sajid Javid selaku Setiausaha Kesihatan, varian yang digelar B.1.1.529 itu mempunyai lonjakan protein yang jauh berbeza berbanding virus Corona sebelum ini.
Difahamkan, ia mempunyai daya mutasi untuk mengelak dari tindak balas imun yang dijana oleh jangkitan sebelum ini dan vaksinasi terdahulu. Varian ini turut dikatakan mempunyai peningkatan dari kadar kebolehjangkitan.
Apa yang kita tahu setakat ini ialah terdapat sejumlah besar mutasi, mungkin dua kali ganda dari yang telah kita lihat dalam varian Delta. Ini menunjukkan bahawa varian ini lebih mudah merebak dan vaksin semasa yang kita ada berkemungkinan kurang berkesan.”
Tambah Javid lagi, lebih banyak data berkenaan varian ini diperlukan untuk fakta lanjut. Walau bagaimanapun, sekatan perjalanan tetap perlu dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga.
Ini kerana kajian makmal yang lebih teliti masih lagi diperlukan untuk menilai kebarangkalian mutasi tersebut dalam mengurangkan keberkesanan vaksin.
Selain Afrika Selatan, varian ini juga ditemui di Botswana dan Hong Kong. Namun, masih belum ada kes yang dikesan di UK.
Macam mana sekalipun, ini bukan alasan untuk korang tak pergi cucuk vaksin, okay? Ingat, cegah sebelum rawat!
Sumber: Reuters
Baca: “Kes makin teruk” – CDC Beri Amaran, Elak Travel Ke 75 Negara Ini Dalam Masa Terdekat