Saban hari kita makin kerap dengar kes-kes penipuan scammer yang makin berani dan licik dalam memperdayakan mangsa, bahkan yang paling berhati-hati pun boleh terjebak tanpa sedar.
Baru baru ini, satu kes cubaan penipuan di China berjaya dikesan terlebih awal oleh pihak polis apabila menemukan seorang lelaki warga emas yang hampir terjerat dalam skim saham palsu.
Dia difahamkan mahu mengirimkan chili oil kepada ‘rakannya’, tetapi apa yang mengejutkan adalah apabila bekas itu rupanya berisi dua jongkong emas.
Insiden ini juga telah mencuri perhatian warganet China bukan kerana ianya membabitkan penipuan saham palsu, tetapi cara lelaki ini menyorokkan emasnya.
Kalau korang nak tahu bagaimana kisah ini boleh berlaku, boleh teruskan baca artikel di bawah ini.
Artikel Penuh: Polis China Tahan Wanita Jadian ‘Sister Hong’, Perangkap 1,600 Lelaki Lakukan Hubungan S*ks & Rakam Video – Lobak Merah
Artikel Penuh: “Jumlah kematian meningkat & ratusan dilaporkan hilang” – Ini Kronologi Kejadian Kebakaran Di Pangsapuri Hong Kong – Lobak Merah
Iklan penipuan yang menyakinkan

Lelaki yang dikenali sebagai Zhao ini dikatakan mula terjebak selepas menemui satu iklan di platform video pendek. Iklan tersebut mempromosikan tip saham ‘cash cow’ yang kononnya menjanjikan keuntungan besar dalam masa singkat.
Bagi warga emas seperti Zhao yang mungkin kurang terdedah kepada modus operandi scammer moden, tawaran itu membuatkan dia ingin mencuba.
Zhao kemudian mengimbas satu kod QR yang disediakan dan memuat turun sebuah aplikasi. Melalui aplikasi itulah, dia mula mengenali dengan seorang individu yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai ‘orang dalam’ industri pelaburan yang kononnya dikatakan memang mahir dalam dunia pelaburan.
Sorok emas dalam chili oil

Peliknya, menurut ‘pakar pelaburan’ itu, Zhao diminta membeli jongkong emas sebagai proses membuat pelaburan, namun dia juga diarahkan menghantar emas tersebut kepada individu tersebut.
Walaupun taktik ini kedengaran aneh, Zhao hanya menganggapnya sebagai langkah yang wajar demi menjaga keselamatan pelaburan.
Kemudian, lelaki warga emas ini pun sembunyikan dua jongkong emas yang seberat 30 gram di dalam sebotol chili oil sebelum membungkusnya untuk dikirim ke daerah lain. ‘Pakar pelaburan’ ini juga telah didik Zhao untuk memberi alasan yang dia hanya mahu mengirim makanan untuk rakannya di daerah lain sekiranya disoal oleh polis nanti.
Walhal, itu memang satu ‘skrip’ yang disuruh oleh scammer supaya modus operandi ini tidak menimbulkan sebarang syak wasangka.
Pegawai polis terima amaran penipuan

Di negara China, mereka ada satu sistem pemantauan digital canggih yang membolehkan pihak berkuasa untuk mengesan aktiviti penipuan kewangan.
Dengan bantuan Artificial Intelligence (AI) dan analisis data besar, pihak polis China boleh mengesan aliran wang yang mencurigakan, menyekat penghantaran wang atau barangan yang berisiko serta mengeluarkan amaran awal kepada mangsa sebelum mereka ditipu, memetik laporan daripada People’s Daily Online.
Dan teknologi inilah yang membuatkan seorang pegawai polis Li Ruifang dari Balai Polis Shuanglin menerima satu amaran penipuan yang menunjukkan ada seorang warga emas yang berkemungkinan sedang berhubung dengan scammer.
Mujur amaran itu sampai tepat pada waktunya, polis tersebut terus bergegas mendapatkan Zhao dan terus membawa lelaki itu untuk disoal siasat. Pada mulanya, sesi soal jawab itu tidak berjalan lancar ekoran Zhao kelihatan terlalu yakin dengan apa yang dia buat di samping tidak menunjukkan tanda-tanda dia sedang ditipu.
Saya tak kena tipu pun. Saya cuma berborak saja dengan kawan saya tentang pelaburan,” katanya apabila disoal siasat sambil mengelak untuk memberikan maklumat mengenai pelaburan yang dibincangkan bersama rakannya.
Zhao terlalu berdegil

Disebabkan Zhao dah terperangkap dalam permainan penipuan scammer tersebut, dia merasakan apa yang dia lakukan adalah perkara yang betul kerana ‘pakar pelaburan’ itu berjaya menyakinkannya dengan sifat profesionalnya.
Apabila pegawai polis Li sedar yang Zhao enggan membuka cerita, dia cuba untuk menukar pendekatannya. Li mula menerangkan secara perlahan tentang cara pelaburan sebenar berfungsi dan bagaimana scammer biasanya memperdayakan mangsa.
Proses ini juga telah mengambil masa hampir dua jam kerana Zhao terlalu percayakan scammer berbanding penjelasan yang diberikan oleh Li. Sepanjang sesi itu, Zhao mendedahkan bahawa dia telah menyembunyikan dua jongkong emas di dalam sebotol chili oil untuk dihantarkan kepada ‘rakannya’.
Li yang hampir berputus asa akhirnya menyuruh Zhao untuk cuba mengeluarkan wang daripada aplikasi pelaburan itu.
Kalau awak masih tak percaya yang ini semua scammer, cuba keluarkan wang dari aplikasi tu!” kata Pegawai Polis Li.
Setelah Zhao cuba untuk mengeluarkan wangnya beberapa kali dan gagal, barulah dia sedar bahawa dia sebenarnya telah ditipu.
Penghantaran terus disekat segera

Tanpa membuang masa, pihak polis pun terus hubungi syarikat kurier dan meminta penghantaran itu disekat segera. Nasib baik mereka berjaya mendapatkan bungkusan tersebut sebelum ia dihantar ke alamat penerima.
Di dalam bungkusan tersebut, memang betul terdapat dua jongkong emas seperti yang diceritakan oleh Zhao. Kemudian, pihak polis memulangkan emas itu kepadanya serta turut bantu mendapatkan semula wang berjumlah 34,000 yuan iaitu bersamaan dengan RM33,000.
Meskipun insiden ini berjaya menyelamatkan seorang warga emas daripada ditipu, namun kes ini berjaya mencetuskan pelbagai reaksi daripada warganet China kerana kisahnya yang agak tidak masuk akal.
Namun majoritinya lega kerana pihak polis dapat bertindak pantas dalam membantu lelaki warga emas ini.
Sumber: SCMP
