“Berbaktilah kepada kedua orang kita selagi mereka masih hidup dan ketika hayat dikandung badan.”
Itu pastinya menjadi pegangan ramai di antara kita yang menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh.
Seperti kisah seorang pemuda ini di tiktok @kalasepie12 yang mengundang sebak ramai netizen.
Tiada siapa sangka, disebalik ketabahannya menjaga si ibu yang sakit rupanya pemuda ini kuat menyembunyikan kesedihan atas pemergian ayah tersayang.
Ini kisahnya…
Dikenali dengan nama Mohd Kamal Mohamad Saad, dia berkata ibunya memerlukan penjagaan rapi selepas menjalani pembedahan akibat penyakit kencing manis pada akhir tahun 2008.
Ujar pemuda berusia 31 tahun itu, ibu jari kaki kanan ibunya terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan.
Susulan itu dia nekad untuk meninggalkan kerjayanya pada ketika itu dalam bidang khidmat pelanggan di Shah Alam, Selangor. Malah dia juga ada melakukan bisnes kek secara separuh masa.
“Sebagai anak, saya risau siapa nak monitor, jaga makan dan minum mak, nak bawa mak ke klinik untuk rawatan. Masa tu ayah ada tapi uzur, takkan nak suruh ayah buat semua tu.
“Dalam kalangan adik-beradik, saya yang masih bujang. Jadi saya buat keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk jaga mak.”
https://www.tiktok.com/@kalasepie12/video/6994045939660934427?lang=en&is_copy_url=1&is_from_webapp=v1
Alhamdulillah, enam bulan kemudian keadaan ibunya semakin pulih dan boleh berjalan, bagaimanapun bapa Kamal pula diserang strok dan dimasukkan ke hospital pada akhir tahun 2019.
Serangan strok itu menyebabkan bapanya tidak dapat bergerak dan memerlukan pemantauan yang sangat rapi.
Lepas kena strok, saya jaga ayah. Saya jaga makan minum, pakai buang air ayah, sebab tak boleh bergerak. Mak pulak perlu dipantau dan jaga ubat-ubatannya.”
Namun menyedihkan apabila bapanya menghembuskan nafas terakhir pada Mac tahun lalu, pada usia 79 tahun.
https://www.tiktok.com/@kalasepie12/video/6993588494417349914?lang=en&is_copy_url=1&is_from_webapp=v1
Katanya sebelum menghembuskan nafas terakhir, ayahnya ada membuat 3 permintaan.
Sebulan sebelum tu, ayah request nak saya masak asam pedas ikan pari. Lepas tu dia nak makan bersama nenek (mak ayah) di kampung di Batu Pahat.
“Pagi hari sebelum meninggal, ayah minta nak tidur sebelah mak. Saya tunaikan dan malam itu ayah meninggal dunia ketika dalam tidur.”
Pesanan terakhir ayah, ‘Mal, ayah tahu macam mana mencabar jaga mak, tinggikan kesabaran. Terima kasih sebab jaga ayah’.
Namun katanya dia sedikit pun tidak berasa kesal melepaskan kerjayanya demi menjaga ibunya yang kini berusia 69 tahun.
Ujar pemuda itu, kini keadaan ibunya bertambah baik tapi masih perlukan penjagaan rapi seperti mencuci luka dan bawa ibu ke klinik untuk rawatan.
Sumber : mStar, kalasepie12