Saksi keenam yang juga merupakan pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Kinarut, Linah Mansoding @ Jaliha, 64 mengatakan bahawa telefon awam asrama ditutup 48 jam selepas Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri.
Linah memberitahu kepada pihak mahkamah perkara tersebut saat ditanya pihak berkepentingan yang juga peguam yang mewakili ibu Allahyarham, Shahlan Jufri pada sesi soal jawab prosiding yang masuk hari kelima, di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Artikel berkaitan : “Tengkuk berdarah” – Zara Qairina Ditemukan Terlentang Tidak Sedarkan Diri Di Longkang Asrama
Artikel berkaitan : Dituduh Ada Pertalian & Bersubahat Dengan Pengetua Sekolah Zara Qairina, Fadhlina Lapor Polis
Linah mendakwa bahawa tindakan menutup telefon awam tersebut atas arahan ketua warden.
Shahlan: Dalam tempoh dua hari selepas 16 Julai 2025 adakah pelajar-pelajar sekolah boleh menghubungi ibu bapa mereka?
Linah: Macam ‘Public phone’ pun sana ada kena tutup selama dua hari dua malam.
Shahlan: ‘Public phone’ di sana ditutup selama dua hari dua malam?
Linah: Sebab budak-budak banyak call ibu bapa mereka.
Shahlan: Sebelum itu Puan ada berapa ‘public phone’ di sana?
Linah: Blok A tiga (telefon awam) blok B tiga (telefon awam)
Shahlan: Macam mana ‘public phone’ ditutup?
Linah: Dikasi mati suiz.
Shahlan: Siapa tutup suiz?
Linah: Ketua warden suruh tutup.
Namun begitu, mahkamah tidak dimaklumkan apakah motif telefon awam tersebut ditutup dan adakah ia perkara biasa ia ditutup pada hari Khamis dan Jumaat selepas Zara Qairina ditemukan.
Inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku koroner.
Prosiding tersebut dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Di barisan pihak berkepentingan peguam Ibu Zara, Noraidah Lamat pula diwakili oleh Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Di samping itu, untuk pihak berkepentingan mewakili bapa Zara iaitu Mahathir Hashim @ Marikin diwakili peguam Sherzali Herza Asli, Nur Rafeeqa Afdul Mutalib dan Clarice Vyonne Conrad.
Sementara itu, pihak berkepentingan untuk peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, Phang Fui Fong, dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili salah seorang remaja tertuduh terbabit dalam kes buli Allahyarham.
Turut menjadi pihak berkepentingan, peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Sylyester Kuan bersama Fareez Salleh mewakili empat orang lagi remaja tertuduh kes buli Zara.
Sumber : Buletin TV3