Cubaan mencuri kabel dipercayai menjadi punca seorang lelaki berusia 40-an maut selepas terkena renjatan elektrik sebelum mayatnya ditemukan di bawah tiang elektrik di Jalan Akob, Kampung Kapar, Klang pagi tadi.
Mangsa ditemukan sekitar jam 10 pagi dengan kedudukan tangannya masih melekat pada kabel berkenaan. Lebih mengejutkan, polis turut menemukan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memotong kabel, selain mangga dan sebuah motosikal di lokasi kejadian.
Artikel berkaitan : “Sudut pandang CCTV jadi punca” – Isu MPV ‘Escort’ Pencuri Kabel, Polis Dedah Kronologi Insiden
Artikel berkaitan : Polis Berjaya Tahan 4 Suspek Dipercayai Terlibat Kes Curi Kabel MRT Laluan Putrajaya
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan satu mayat sebelum bergegas ke lokasi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan jenayah mencuri kabel.

“Ini berdasarkan kedudukan mangsa dan tangannya masih melekat di kabel. Turut dijumpai peralatan memotong kabel bersama mangga dan juga motorsikal yang digunakan mangsa dijumpa dilokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata, pengecaman mangsa telah dibuat oleh waris keluarga dan lelaki berkenaan merupakan warga tempatan yang berasal dari Kapar.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam untuk bedah siasat yang dijadualkan berlangsung esok.

“Kes disiasat sebagai mati mengejut. Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Mejar Azhar ditalian 012-349 5921 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan mayat seorang lelaki ditemukan di bawah tiang elektrik di Jalan Akob, Kampung Kapar, pagi tadi.
Penemuan mayat yang ketika itu belum diketahui identitinya dilaporkan kepada pihak berkuasa sebelum pasukan bomba tiba di lokasi bagi menjalankan khidmat mengambil mayat.
Sumber : Kosmo!
