Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengeluarkan peringatan awal kepada bakal jemaah haji bagi musim haji 1447H/2026M untuk membuat persediaan lebih awal. Peringatan ini adalah selaras dengan usaha berterusan TH untuk meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia.
Makluman awal ini bertujuan untuk membantu bakal jemaah membuat persediaan yang lebih rapi, terutamanya dalam aspek yang sering menjadi punca jemaah tidak layak menerima tawaran haji, iaitu kesihatan dan kewangan.
Tambah pihak TH lagi, pengalaman lepas menunjukkan ramai bakal jemaah gagal menunaikan haji kerana faktor-faktor tersebut. Dengan peringatan awal ini, bakal jemaah diharapkan mempunyai masa yang lebih panjang untuk membuat persediaan dan seterusnya melayakkan diri untuk menerima tawaran haji.
Aspek Persediaan yang Perlu Diberi Perhatian:
- Kesihatan: Bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan, kerana ibadah haji memerlukan fizikal yang kuat. Aktiviti haji seperti melontar di Mina memerlukan jemaah berjalan sehingga 10km sehari dalam cuaca yang tidak menentu.
Jemaah juga akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang lama dan terdedah kepada cuaca panas dan berdebu. Peringatan awal ini memberi lebih masa kepada bakal jemaah untuk menjaga kesihatan fizikal melalui senaman dan pemeriksaan kesihatan kendiri.
- Kewangan: Bakal jemaah digalakkan untuk terus meningkatkan simpanan di TH. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad, menyarankan agar bakal jemaah mencukupkan simpanan di TH sekurang-kurangnya RM15,000, iaitu jumlah bayaran haji yang ditetapkan bagi golongan B40 pada tahun 2025.
Simpanan boleh dilakukan secara berkala melalui potongan gaji atau potongan terus dari akaun bank (direct debit) menggunakan platform THIJARI.
- Maklumat Peribadi: Bakal jemaah haji 1447H/2026M juga diingatkan untuk mengemas kini rekod profil mereka bagi memudahkan TH menghubungi mereka untuk urusan selanjutnya.
Bakal jemaah haji juga digalakkan mengikuti saluran-saluran media sosial dan
laman web rasmi TH bagi mendapatkan informasi terkini sebagai persediaan
untuk menunaikan haji.

Bakal jemaah boleh menyemak giliran haji mereka melalui platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH seluruh negara. TH juga akan memaklumkan peringatan awal ini melalui aplikasi THIJARI, SMS, dan e-mel rasmi. Makluman ini bukanlah surat tawaran haji, tetapi sekadar notifikasi peringatan awal. TH juga akan memulakan siri kursus bimbingan haji untuk persediaan rohani dan ilmu pengetahuan bagi bakal jemaah.
Ibadat haji hanya diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kesihatan, kewangan, kuota, dan keselamatan. Peringatan awal ini diharapkan dapat membantu bakal jemaah untuk membuat persediaan yang rapi dan menunaikan ibadah haji dengan lancar.
Dalam pada itu, TH terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dengan mengekalkan rekod konsisten sebagai model pengurusan haji yang inovatif sehingga mendapat pengiktirafan anugerah berprestij ‘Diamond Award’ di Majlis Anugerah Labaytum 2025.
Sebelum ini, TH telah memenangi anugerah Labaytum untuk dua tahun berturut turut. Pada tahun 2023, TH menerima dua anugerah dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik bagi Pejabat Hal Ehwal Haji dan Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik. Pada tahun 2024 pula, TH menerima Anugerah Labaytum dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik Pejabat Hal Ehwal Haji.