in

SUV Bawa Rokok Seludup Masuk Laluan Bertentangan, 3 Terkorban Di Tempat Kejadian

5rokok

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Tiga nyawa melayang dalam satu kemalangan tragik membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 56 Lebuhraya Senai–Desaru (E22) pada tengah hari Sabtu, apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner dipercayai membawa muatan rokok seludup terbabas ke laluan bertentangan.

Screenshot 2025 10 12 at 11.57.29 AM

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata insiden berlaku sekitar jam 11.45 tengah hari apabila Toyota Fortuner yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun bertembung dengan sebuah Volkswagen Golf selepas cuba mengelak kenderaan di hadapan. Honda CRV yang berada di laluan sama sempat mengelak daripada dirempuh, namun Volkswagen Golf yang mengekori dari belakang gagal berbuat demikian, menyebabkan pertembungan berlaku secara berdepan.


Menurut laporan Sinar Harian, kemalangan itu menyebabkan tiga individu dalam Volkswagen Golf, termasuk pemandu dan dua penumpang, maut — dua di lokasi kejadian dan seorang lagi semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. Seorang lagi penumpang Volkswagen dilaporkan cedera parah, manakala pemandu Toyota Fortuner turut mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di hospital sama. Pemandu Honda CRV pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Screenshot 2025 10 12 at 11.57.38 AM

Sebelum pasukan penyelamat tiba, orang awam sempat membantu mengeluarkan semua mangsa dari kenderaan yang terbakar akibat perlanggaran kuat itu. Polis turut menemui sejumlah rokok seludup di dalam Toyota Fortuner, dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah bagi mengenal pasti sumber serta tujuan penghantaran barangan tersebut.

Screenshot 2025 10 12 at 11.57.46 AM

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian. Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati terutama ketika cuaca tidak menentu, selain menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menggunakan jalan raya bagi kegiatan penyeludupan atau aktiviti haram.

 

Baca: Rempuh Tembok Plaza Tol, Pemandu Warga Indonesia Larikan Diri Diburu Polis

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.