in

SUV Bawa R*kok Seludup Pandu Lawan Arus, Korbankan 3 Nyawa

syaz ft 2025 10 13T105229.591

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang lagi maut menjadikan tiga terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, dua daripadanya terbakar, di Kilometer 56 Lebuhraya Senai-Desaru. Dalam kejadian itu, sebuah Toyota Fortuner yang terbakar turut didapati membawa rokok seludup.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Tinggi menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 11.45 pagi.


Artikel berkaitan: Pemilik Warung Aziz Satar Di Kemaman Terkorban Dalam Kemalangan

Artikel berkaitan: Gara-gara Kejar Ambulans Bawa Nenek, Pemandu Sebabkan Kemalangan Dengan 5 Kenderaan

Beliau berkata, kemalangan berkenaan membabitkan tiga kenderaan iaitu Honda CRV dipandu seorang wanita berusia 25 tahun; Toyota Fortuner dipandu lelaki berusia 32 tahun; dan Volkswagen Golf dipandu seorang lelaki yang belum dikenal pasti bersama tiga penumpang lelaki yang juga belum dikenal pasti.

G3GMnHoacAA82ue

“Kemalangan berlaku apabila Toyota Fortuner itu masuk ke laluan bertentangan iaitu laluan Desaru menghala ke Senai dan Honda CRV yang berada di laluan terbabit sempat mengelak.

Volkswagen Golf yang berada di belakang Honda CRV bagaimanapun gagal mengelak dan bertembung dengan Toyota Fortuner berkenaan.

Semua mangsa dalam kemalangan itu sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum terbakar,” katanya.

Beliau berkata, Toyota Fortuner itu disyaki membawa muatan rokok seludup dan kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi.

Katanya, dalam kemalangan itu, pemandu dan dua penumpang Volkswagen Golf maut, dengan dua meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Seorang lagi penumpang kereta itu sedang mendapatkan rawatan di HSI. Pemandu Toyota Fortuner juga parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama. Pemandu Honda CRV tidak cedera,” katanya.

Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Zamiruddin Yaakob di talian 011-3910 5277.

Sumber: Harian Metro, X

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.