Dalam mendepani situasi krisis tenaga global yang tidak menentu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan keperluan tenaga rakyat terus dipenuhi melalui pelbagai inisiatif strategik dan mampan.
Bagi meningkatkan kemampanan penggunaan tenaga secara kendiri, kerajaan telah melancarkan Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) bermula 1 Januari 2026.
Program ini bertujuan menggalakkan pemasangan solar di atas bumbung bagi pengguna domestik dan bukan domestik. Matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan nilai ekonomi melalui pengurangan kos tenaga tanpa memerlukan aliran tunai langsung, selari dengan usaha mengoptimumkan penggunaan tenaga sendiri.

Bagi syarikat bukan domestik, model perolehan seperti solar leasing atau rent to own disediakan supaya pemasangan boleh dilakukan tanpa modal awal (upfront capital).
Artikel berkaitan : Bil Elektrik Melambung? PETRA Galak Rakyat Beralih ke Skim ‘Time of Use’ (ToU)
Artikel berkaitan : Krisis Teluk Hormuz: PETRA Jamin Bekalan Elektrik Negara Terjamin
Manakala bagi pengguna kategori Voltan Sederhana (MV), Voltan Tinggi (HV), dan Voltan Tinggi Ultra (UHV), program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) diperkenalkan untuk menjamin bekalan elektrik hijau dengan harga yang lebih stabil.
Panduan Kecekapan Tenaga di Rumah

Selain daripada peralihan kepada sumber solar, PETRA turut menyarankan pengguna, terutamanya yang bekerja dari rumah (BDR), untuk mengamalkan langkah-langkah kecekapan tenaga bagi mengurangkan beban kos:
-
Menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius untuk keseimbangan keselesaan dan penjimatan.
-
Melaksanakan penyelenggaraan peralatan secara berkala agar beroperasi secara optimum.
-
Menggunakan peralatan elektrik dengan label cekap tenaga 4 atau 5 bintang.
-
Mematikan suis peralatan dan mengelakkan mod standby.
-
Memanfaatkan skim Time of Use (ToU) untuk penggunaan yang lebih kos efektif.
Komitmen Terhadap Kelestarian Negara
Langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha negara untuk beradaptasi terhadap perubahan iklim dunia. PETRA yakin bahawa inisiatif-inisiatif ini akan memperkukuh landskap tenaga negara dalam jangka masa panjang dengan menjaga elemen Energy Trilemma—iaitu keselamatan bekalan, mampu bayar, dan kemampanan.
Permohonan bagi program Solar ATAP serta senarai syarikat pelabur dan penyedia perkhidmatan solar yang berdaftar boleh didapati melalui laman web rasmi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia. Maklumat lanjut mengenai CRESS pula boleh dimuat turun melalui laman web Suruhanjaya Tenaga.
Sumber : PETRA
