Sebelum ini, Netflix ada menyiarkan satu siri yang mencetuskan kontroversi di seluruh dunia iaitu Messiah — yang dikatakan mengisahkan mengenai kemunculan figura jahat Al-Masih Ad-Dajjal ketika akhir zaman nanti.
Ura-ura mengenai tayangan siri Messiah pada awal tahun ini mencetuskan kebimbangan segelintir individu kerana mereka percaya, ia dikhuatiri mampu membuatkan akidah umat Islam terpesong.
Pelbagai dakwaan dibuat, antaranya termasuk Messiah merupakan satu agenda Hollywood untuk brainwash umat Islam mengenai kedatangan Nabi Isa dan Dajjal, agenda Illuminati dan sebagainya.
Malah ada juga yang mendakwa, Messiah menceritakan keadaan ketika hari kiamat mengikut fahaman kitab Kristian dan ia jauh menyimpang daripada apa yang ditulis di dalam Al-Quran.
Apa pun, dalam perkembangan terbaru — siri ini akan ditamatkan hanya selepas satu musim bersiaran. Menurut laporan dari portal Deadline, kenyataan itu dimaklumkan oleh salah seorang pelakon siri tersebut menerusi laman Instagramnya.
https://www.instagram.com/p/B-LD3cjHw_c/?utm_source=ig_web_copy_link
Netflix dikatakan tidak yakin dapat meneruskan operasi pembikinan untuk musim kedua disebabkan penularan COVID-19 yang sedang mengancam seluruh dunia ketika ini.
Keputusan itu secara tidak langsung akan mengecewakan penonton, selepas episod akhir musim pertamanya ditamatkan dalam keadaan tergantung — membuatkan ramai akan tertanya-tanya, siapa Al-Masih atau Payam Golshiri ini sebenarnya.