Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mencatatkan kejayaan besar apabila berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang dikenali sebagai “Pade Ajak”.
Tindakan tegas ini dilaksanakan menerusi siri serbuan terancang di beberapa lokasi sekitar Kuala Selangor pada 11 November 2025.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA serta Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya ini , berjaya menahan seramai 20 individu.

Tangkapan yang dibuat di dua lokasi utama merangkumi:
- Migran Warganegara Indonesia: Seramai 15 orang, terdiri daripada 10 lelaki dan 5 wanita.
- Transporter dan Penjaga Rumah: Tiga lelaki (masing-masing warganegara Nepal dan Indonesia) yang berperanan sebagai pengangkut dan dua penjaga rumah (seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki Nepal).
- Dalang Utama: Seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 36 tahun yang disyaki bertindak sebagai dalang utama dan transporter sindiket turut ditahan.
Modus Operandi dan Kerugian Kewangan Sindiket
Siasatan awal mendapati semua migran berkenaan ditempatkan sementara di premis transit yang beroperasi di sebalik kedai runcit dan kedai makan, sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di sekitar perairan Kuala Selangor.
Sindiket “Pade Ajak” ini disahkan telah aktif beroperasi sejak awal tahun 2023, iaitu lebih dua tahun dengan rangkaian operasinya melibatkan ejen di Malaysia dan dalang utama di Indonesia.

Menurut JIM, mereka menggunakan media sosial untuk menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan. Bayaran yang dikenakan adalah antara RM1,500 hingga RM2,100 bagi setiap individu.
JIM juga menganggarkan keuntungan keseluruhan sindiket mencecah RM504,000.00 hasil daripada aktiviti haram tersebut.
Artikel berkaitan : Pengerusi Rohingnya Malaysia Dakwa Ramai Yang Masih Degil, Tempah Ma*t Naik Kapal Beramai-ramai
Artikel berkaitan : Warga Asing Menyorok Dalam Bilik Air Elak Ditangkap Imigresen
Dalam operasi yang dijalankan, pihak JIM turut menyita dua buah kenderaan iaitu Toyota Innova dan Perodua Alza, bersama sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil bayaran daripada migran.
Sementara itu, JIM kini sedang mengesan pemilik premis warga tempatan yang disyaki bersekongkol dengan sindiket tersebut. Kesemua individu yang terlibat akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan komitmen tegas dan berterusan dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran. Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Sumber : Jabatan Imigresen Malaysia
