in

“Siap berulat” – Pintu Kaca Masjid Pecah, Karpet Dicemari Cecair Busuk Bercampur Serpihan Tulang

Masjid Air Selut Busuk Khianat

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Jemaah sebuah masjid di Kampung Berangan, Tumpat, dikejutkan dengan kejadian khianat apabila karpet ruang solat dicemari cecair berbau busuk yang bercampur serpihan tulang serta bulu.

Kejadian yang berlaku di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan itu disedari sekitar jam 6.30 pagi Isnin sebelum pihak masjid memanggil kontraktor pembersihan untuk menjalankan kerja-kerja mencuci.


Kontraktor pencuci, Mohd Hanif Mohammad Noor berkata, dia terkejut apabila melihat keadaan karpet yang dicemari bahan berkenaan kerana bukan sekadar selut biasa, malah terdapat serpihan tulang, bulu dan ulat selain mengeluarkan bau yang sangat kuat.

“Apabila sampai, saya tengok keadaan karpet memang teruk.

“Ada serpihan tulang, bulu dan ulat selain bau yang sangat kuat,” katanya.

Menurutnya, proses sertu dilakukan menggunakan campuran air tanah sebelum karpet dibasuh sebanyak enam kali menggunakan air mutlak.

Difahamkan, kerja pembersihan dijangka mengambil masa sehingga tiga hari termasuk proses mencuci dan mengeringkan karpet.

 

View on Threads

 

Artikel berkaitan: Tular Mengamuk Dalam Masjid, Wanita Diarah Buat Ujian Mental Dekat Hospital Bahagia

Artikel berkaitan: “Ada unsur khianat” – Polis Akhirnya Dedahkan Hasil Siasatan Insiden ‘Kubur Berdarah’

Polis cari lelaki lakukan perbuatan khianat

Dalam pada itu, polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian khianat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.35 pagi.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan dan terdapat cecair busuk pada karpet di ruang solat.

“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu dan kini sedang dikesan,” katanya.

Mohd Khairi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek, motif kejadian serta jumlah kerosakan atau kerugian yang dialami pihak masjid. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.