in

“Sengaja atau cuai?” – Ini 3 Kes Salah Pasang Jalur Gemilang & Cara Penggunaan Bendera Negara

Untitled design 4

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sempena bulan kemerdekaan ini, ramai rakyat Malaysia mengambil peluang untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan mahupun kenderaan. Namun, dalam semangat berkobar-kobar itu, ada juga yang secara tidak sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Walaupun nampak remeh, insiden sebegini sering mencetuskan kemarahan orang ramai kerana dianggap seolah-olah tidak menghormati bendera negara. Bagi sesetengah pihak, ini bukan sekadar soal kecuaian, tetapi turut menyentuh soal maruah dan kedaulatan negara .


Jom kita tengok beberapa kes yang pernah tular dan kenapa isu Jalur Gemilang terbalik ini menjadi perhatian orang ramai.

1. SJKC Chuang Hua, Port Dickson 

bendera terbalik chung hua

Sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan pernah menjadi perhatian apabila bendera Jalur Gemilang didapati dipasang dalam keadaan terbalik.

Difahamkan, insiden bendera Jalur Gemilang terbalik itu telah disedari oleh orang luar yang melihat bendera itu dari luar kawasan sekolah.

Susulan itu, pihak sekolah terus mengambil langkah untuk membetulkan kedudukan bendera itu dengan segara setelah menerima makluman. Pihak sekolah bersama pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah memohon maaf kepada semua rakyat ke atas kecuaian mereka.

Pihak sekolah menjelaskan bahawa seorang pekerja sekolah telah ditugaskan untuk memasang bendera sebelum tamat waktu bekerja, namun akibat kecuaian, salah satu bendera Jalur Gemilang telah dipasang dalam keadaan terbalik.

Pihak PIBG turut menyatakan bahawa mereka berjanji untuk terus melaksanakan tanggungjawab pendidikan dengan penuh intergriti demi maruah negara, lapor Astro Awani.

“Kesilapan ini adalah tidak disengajakan, kami mengakui bahawa ia telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam. Kami rasa amat kesal,” kata kenyataan itu.

2. Kedai Perkakasan di Kepala Batas 

bendera terbalik kepala batas

Pada 9 Ogos, seorang pemilik kedai perkakasan, Pang Chin Tiang, 59, telah mencetuskan kontroversi apabila didapati mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas.

Pihak polis mula menyiasat insiden tersebut setelah menerima aduan terdapat satu hantaran video melalui media sosial Facebook yang memaparkan pemilik kedai perkakasan itu sedang mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik manakala seorang lagi lelaki sedang merakamkannya.

Video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki seolah-olah sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik telah mendapat kecaman hebat daripada netizen.

Berikutan itu, Pang Chin Tiang menjelaskan bahawa setiap tahun dia tidak pernah terlepas memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di premisnya. Namun disebabkan kesilapan yang tidak disengajakan, dia bersedia untuk menanggung segala akibat daripada perbuatannya.

“Perkara ini (pasang bendera terbalik) bukan sengaja berlaku tetapi ada sedikit (salah), masa itu belum lagi ikat (pasang) dan terus saya ambil tangga pergi ubah.

“Namun tidak mengapa, saya punya kes sekarang bagi polis siasat… Apa saja keputusan saya terima dan tanggung akibatnya,” katanya

Akhirnya, Pang Chin Tiang telah membuat permohonan maaf serta mengakui kesilapannya yang telah mencetuskan kemarahan pada masyarakat seluruh negara.

Artikel Berkaitan: “Nasib baik ada CCTV” – Tular Kes Bendera Terbalik Di Melaka, ADUN Duyong Dedah Puncanya – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Malulah kita yang normal ni” – Lelaki OKU Mental Mampu Pasang Bendera Dengan Betul, Siap Ingat Lagi Rukun Negara! – Lobak Merah

3. Klinik gigi di Pontian, Johor 

bendera terbalik pontian

Satu lagi isu tular melibatkan pemasangan bendera dalam keadaan terbalik di premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian.

Menurut gambar yang tular di media sosial, sehelai Jalur Gemilang dipasang pada tingkap atas bangunan dua tingkat bersebelahan dengan bendera negeri Johor. Insiden pemasangan bendera secara terbalik ini dikatakan berpunca daripada kecuaian seorang pekerja wanita di klinik gigi tersebut yang tersilap memasangnya. Pihak premis menjelaskan ia tidak disengajakan, lapor Kosmo!.

Menurut Berita Harian, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menegaskan bahawa isu bendera negara terbalik ini bukanlah isu perkauman, tetapi ia melibatkan soal kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme.

“Perlu diingat ini bukan soal perkauman. Ia adalah soal kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme. Semua kaum dan semua pihak perlu berhati-hati bila membabitkan hal-hal yang sensitif terutama pemasangan Jalur Gemilang.

Difahamkan juga, kakitangan klinik gigi berkenaan termasuk doktor dan pekerja wanita itu telah diambil kenyataan mereka oleh polis. Selain itu, klinik gigi itu juga diarahkan tutup selama 30 hari kerana telah didapati melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil.

Kenapa orang marah? 

Bagi rakyat Malaysia, Jalur Gemilang bukan sekadar kain yang digantung tanpa makna. Ia merupakan simbol maruah dan identiti negara. Jadi bila ada kes bendera negara dipasang terbalik, ramai rakyat rasa tersinggung kerana dianggap seperti tidak menghormati negara sendiri.

Lagi-lagi bila insiden itu berlaku ketika bulan kemerdekaan, ketika semangat patriotisme sedang memuncak, sebarang kesilapan yang melibatkan bendera ini memang mudah menimbulkan rasa marah. Sepatutnya pada bulan kemerdekaan inilah kita menunjukkan rasa cinta kepada negara, bukannya menimbulkan kontroversi yang boleh mencalarkan semangat perpaduan.

Sesetengah rakyat juga berpendapat, jika perkara ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan, generasi akan datang mungkin akan ambil mudah dan tidak lagi menghormati bendera negara kita. Oleh itu, kita semua perlu lebih peka dengan cara yang betul dalam menghormati Jalur Gemilang.

Cara betul penggunaan bendera negara

Tujuan bendera negara dibiarkan adalah untuk menzahirkan semangat patriotisme rakyat, selain melambangkan kemegahan dan kedaulatan sesebuah negara.

Secara umumnya, terdapat beberapa garis panduan agar Jalur Gemilang sentiasa dihormati oleh rakyat Malaysia.

Menurut, Jabatan Penerangan Malaysia, bendera hendaklah dipasang secara melintang sahaja. Ia tidak boleh dipasang secara menegak sekiranya berkedudukan statik atau tidak berkibar. Terdahulu, bendera yang disambung dalam kuantiti yang banyak (Flagline) dibenarkan untuk memasang secara menegak. Namun, kini ia tidak lagi dibenarkan lagi dan wajib dipasang secara melintang juga.

Screenshot 2025 08 22 120906

Penggunaan bendera dalam bentuk pakaian dan dekorasi sebenarnya tidak digalakkan kerana ia boleh dianggap kurang sopan. Jalur Gemilang adalah lambang rasmi negara, jadi apabila dijadikan baju, seluar, kain tudung, atau alas meja sekalipun, ia boleh dianggap seperti mempersendakan simbol negara.

Namun, ada pengecualian semasa sambutan Bulan Kemerdekaan, di mana bendera boleh digunakan dalam bentuk kreatif seperti hiasan kenderaan, pakaian bertema patriotik atau prop persembahan sahaja. Itu pun bergantung kepada penggunaannya kerana ia sepatutnya terhad dalam tempoh tertentu sahaja.

Mengibarkan Jalur Gemilang yang sudah pudar warnanya, koyak atau lusah bukan sahaja tidak sedap mata memandang, malah dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan terhadap negara. Bendera adalah simbol maruah negara, oleh itu keadaannya perlu dijaga dengan baik.

Jalur Gemilang yang uzur tidak boleh terus dikibarkan. Sebaliknya, ia perlu diturunkan dan digantikan dengan bendera baharu. Jika mahu melupuskan bendera rosak atau lama, bendera lama perlu dilipat dengan kemas dan dilupuskan secara sopan, bukan dibuang sebarangan.

Kesimpulannya, menjaga keadaan bendera sama penting dengan mengibarkannya. Bendera yang berkedut, pudar atau koyak mencerminkan imej negara yang tidak terurus, sedangkan Jalur Gemilang ini sepatutnya berkibar megah sebagai simbol kebanggaan rakyat.

Bendera koyak e1755836930296

Jalur Gemilang bukanlah sekadar hiasan dinding yang dikibarkan bila tiba bulan Ogos. Ia adalah lambang maruah, identiti dan perpaduan rakyat Malaysia. Sebab itu setiap kali ada isu bendera dipasang terbalik, rakyat Malaysia rasa terpanggil untuk memberi komen.

Tanggungjawab dalam menghormati Jalur Gemilang adalah tanggungjawab semua. Selagi ia dikibarkan dengan betul dan penuh semangat, selagi itu maruah negara akan tetap terpelihara.

Sumber:  Pejabat Perdana Menteri, MKN, Berita Harian, Bernama

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.