Sebuah kes kematian menggemparkan media sosial hari ini apabila seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang ditemui mati dengan pisau tertusuk di leher di dalam bilik rumahnya di Kampung Beris, Panchor, Kelantan.
Menurut laporan Astro AWANI, wanita berumur 35 tahun itu ditemui berlumuran darah dengan pisau masih tertusuk di lehernya sekitar jam 6 petang pada Rabu.
Insiden berkenaan disedari adik mangsa, Wan Muhamad Nasir Wan Mahadi sejurus dia memanjat dan melihat wanita berkenaan dalam biliknya yang dikunci dari dalam.
“Saya ambil tangga nampak keluar darah. Saya masuk pecahkan pintu. Anaknya ada di luar bersama ibu. Saya terus hubungi ambulans,” katanya.
Terkejut dengan keadaan itu, adik kepada mangsa terus memecahkan pintu bilik kakaknya itu sebelum menghubungi ambulans.
Difahamkan, sebelum kejadian itu berlaku wanita tersebut sempat menelefon suaminya yang bertugas di Kedah, ibu kepada mangsa sempat melihat mangsa mengambil sebilah pisau di dapur sebelum memasuki bilik sekitar jam 4 petang.
Wan Muhamad Nasir turut memberitahu, dia sendiri yang mencabut pisau sepanjang 16 sentimeter dari leher kakaknya sebelum menghubungi Klinik Kesihatan Beris.
Hasil pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), mangsa dikatakan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan, mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Baca: Wanita Maut Dipukul Suami Dengan Tukul Besi, Keluarga Tak Sangka Sebab Suspek Baik & Lembut